PERANG GAZA
6 min membaca
Tahukah anda berapa bayaran yang diterima kontraktor AS di Gaza?
Kontraktor AS kini beroperasi di Gaza. Inilah siapa yang mereka lindungi – dan mengapa ia penting.
Tahukah anda berapa bayaran yang diterima kontraktor AS di Gaza?
SRS, salah satu kontraktor utama, didaftarkan secara senyap pada akhir 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada Januari 2025. / Foto: AFP
28 Mei 2025

Apabila pesawat Boeing 777 milik syarikat penerbangan sewa khas Amerika Syarikat, Omni Air, mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv pada 18 Mei, tidak ramai menjangka bahawa ia akan mendapat perhatian meluas.

Imej yang tersebar memaparkan “ratusan anggota tentera veteran Amerika” turun dari pesawat — dimana ia diperhati pakar penerbangan seperti Avi Scharf yang menyatakan mereka tiba melalui laluan sewa khas tentera AS: dari Washington DC ke Sofia, dan kemudian ke Israel.

Pesawat dan logistiknya menyerupai misi ketenteraan, namun operasi ini digambarkan sebagai bantuan kemanusiaan.

Kini terbongkar bahawa anggota-anggota tentera veteran itu menyertai satu inisiatif bantuan penuh kontroversi di Gaza yang bukan dikoordinasi oleh PBB atau Palang Merah, tetapi oleh sebuah yayasan kemanusiaan swasta baharu yang beroperasi secara rahsia dan dikawal oleh kontraktor tentera swasta AS.

Setiap kontraktor dilaporkan menerima bayaran AS$1,100 sehari beserta bonus satu kali sebanyak AS$10,000 semasa gencatan senjata baru-baru ini, menurut Haaretz dan Reuters.

Ratusan kanak-kanak Palestin telah meninggal dunia akibat kebuluran di Gaza disebabkan sekatan akses bantuan oleh Israel di wilayah bergolak itu.

Kotak bantuan yang diedarkan mengandungi barangan asas seperti gula, beras, mi segera dan makanan dalam tin — hanya cukup untuk dibawa dengan tangan.

“Kandungan kotak ini, pada masa normal sebelum pembunuhan beramai-ramai, bernilai kurang daripada AS$40. Sukar untuk menjustifikasikan kos AS$1,100 sehari untuk satu kontraktor,” kata wartawan Palestin Mohammed AbuNasser.

“Daripada menyerahkan kepada kontraktor pada kadar setinggi itu, mereka sepatutnya membenarkan organisasi bantuan antarabangsa menjalankan tugas mereka dengan berkesan,” katanya kepada TRT World.

Dua firma AS yang tidak dikenali ramai, Safe Reach Solutions (SRS) dan UG Solutions, dianugerahkan kontrak untuk menyediakan keselamatan dan sokongan logistik kepada Gaza Humanitarian Foundation (GHF) — sebuah NGO baharu yang tidak mempunyai rekod dalam kerja-kerja bantuan.

Walaupun secara rasmi bertugas menyelia pengagihan bantuan, kontraktor-kontraktor itu dilaporkan menjalankan operasi jauh melebihi tugas logistik, sekali gus membangkitkan kebimbangan di kalangan pemerhati antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia.

Kemanusiaan atau perisikan?

Komunikasi dalaman yang bocor yang dilaporkan oleh Ynet News mendakwa SRS terlibat dalam operasi pengawasan dan perisikan di Gaza.

Tugas tersebut termasuk mengurus pusat pemeriksaan, menganalisis imej dron dan satelit, serta mengenal pasti individu bersenjata — satu peranan yang menunjukkan kerjasama rapat dengan tentera Israel.

Namun, SRS dikatakan tidak mempunyai sistem risikan sendiri dan bergantung kepada data yang dibekalkan oleh pasukan keselamatan Israel.

Pendedahan ini muncul ketika GHF — yang memulakan operasi di Gaza pada Isnin — menerima kritikan pedas atas mandatnya yang kabur dan kecenderungan politiknya.

Disokong oleh AS dan Israel serta ditubuhkan hanya beberapa bulan lalu pada Februari, yayasan ini dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melemahkan usaha bantuan sedia ada dan menyebabkan pemindahan penduduk Palestin secara besar-besaran.

Di bawah pelan ini, bantuan hanya akan disalurkan melalui “zon pengagihan selamat” yang ditetapkan oleh Israel di selatan Gaza — memaksa rakyat Palestin berjalan sangat jauh ke selatan hanya untuk menerima bantuan asas.

Pengkritik menyifatkan rancangan ini sebagai strategi untuk menggalakkan pemindahan penduduk dari utara ke selatan, satu dasar yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Pelan ini begitu mencurigakan sehingga Jake Wood — yang berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif GHF sejak dua bulan lalu — meletak jawatan pada Ahad dan menyatakan beliau tidak boleh “mengorbankan prinsip kemanusiaan, tidak berpihak, dan kebebasan”.

Diselubungi Rahsia

Menurut The New York Times, idea mewujudkan sistem bantuan selari ini untuk Gaza muncul pada akhir 2023, melibatkan kumpulan ahli perniagaan, pegawai keselamatan dan penasihat kerajaan Israel.

Rancangan ini bertujuan melemahkan pengaruh Hamas dengan memintas saluran bantuan tradisional seperti PBB dan menggantikannya dengan kontraktor swasta di kawasan yang dikawal Israel.

Antara arkitek utama pelan ini ialah: kapitalis pelaburan Michael Eisenberg, bekas penasihat tentera Yotam HaCohen, dan usahawan teknologi Liran Tancman. Mereka merancang satu sistem untuk mengurus krisis kemanusiaan di Gaza yang pada masa sama menjaga imej Israel sebagai penjajah.

Firma di sebalik tabir

SRS, salah satu kontraktor utama, didaftarkan secara senyap pada akhir 2023 dan dilancarkan kepada umum pada Januari 2025.

Menurut Haaretz, SRS memainkan peranan penting dalam perancangan operasi Koridor Netzarim — laluan tentera yang menghubungkan utara dan selatan Gaza semasa gencatan senjata sementara awal tahun ini.

Asal-usul dan penyandang kewangan firma ini masih tidak jelas, namun wartawan Jack Poulson mengaitkannya dengan Two Ocean Trust LLC, sebuah firma pengurusan kekayaan yang berpangkalan di Wyoming, AS.

SRS diketuai oleh Phil Reilly, bekas pegawai paramilitari CIA dan veteran Pasukan Khas Tentera AS yang pernah terlibat dalam operasi memburu Osama bin Laden dalam pasukan dikenali sebagai ‘Jawbreaker’ — yang baru-baru ini dipaparkan dalam dokumentari Netflix.

Satu mesej yang dibocorkan oleh kakitangan SRS menggambarkan budaya syarikat itu sebagai mirip sebuah syarikat pemula teknologi, meskipun beroperasi dalam misi berisiko tinggi.

Firma itu kini giat merekrut jawatan seperti “Pegawai Perhubungan Kemanusiaan” dan “Timbalan Pasukan”.

Iklan pekerjaannya di LinkedIn mencari profesional dengan pengalaman tidak kurang tujuh tahun dalam bidang kemanusiaan atau ketenteraan, dengan keutamaan diberikan kepada warganegara AS yang boleh bertutur dalam bahasa Arab dan mempunyai latar belakang bekerja di PBB atau NGO — iaitu institusi yang kini diketepikan oleh GHF sendiri.

Walaupun profilnya rendah, minat terhadap syarikat ini tinggi. Salah satu jawatan dilaporkan menerima lebih 100 permohonan dalam masa dua minggu. Namun, perekrut bernama “Ali Ali” tidak mempunyai jejak digital yang boleh dikesan, dan beberapa iklan kerja telah dipadam tanpa apa-apa penjelasan.

Di Gaza, SRS turut disertai UG Solutions, sebuah syarikat keselamatan yang berpangkalan di North Carolina dan diasaskan oleh Jameson Govoni, bekas anggota Green Beret yang pernah menghasilkan program pengawasan untuk operasi khas tentera AS.

Rekod kerja Govoni termasuk pernah menjalankan perniagaan minuman pemulih ‘hangover’ bernama Alcohol Armor. Dalam satu video yang kini telah dipadam, beliau berkata: “Saya sertai tentera secepat mungkin untuk menyakiti mereka yang menyakiti kami.”

PBB disingkir, sektor swasta ambil alih

GHF, yang menggaji kedua-dua SRS dan UG Solutions, menggambarkan dirinya sebagai sebuah pertubuhan bebas tanpa keuntungan.

Namun, pengkritik berpendapat ia hanyalah naratif untuk kepentingan strategik Amerika Syarikat dan Israel.

Pelan bantuan yang disokongnya mengetepikan badan-badan antarabangsa yang berpengalaman dan sebaliknya bergantung kepada syarikat swasta yang berakar dari latar belakang ketenteraan tanpa pengalaman yang cukup dalam bantuan kemanusiaan.

Dengan operasi hanya tertumpu di “zon selamat” yang ditentukan oleh Israel di selatan Gaza, PBB menyuarakan kebimbangan bahawa sistem bantuan baharu itu tidak akan meredakan situasi.

Ketika trak-trak bantuan memasuki Gaza dengan diiringi kontraktor Amerika, kesan jangka panjangnya masih tidak jelas.

Namun, apa yang semakin nyata ialah di sebalik model baharu bantuan kemanusiaan ini, wujud satu rangkaian kompleks dan rahsia yang melibatkan veteran tentera, pengendali risikan, dan firma berkepentingan untung yang mengaburkan garisan antara kebajikan dan operasi sulit.

SUMBER: TRT World

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us