Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini berada di Kepulauan Menorca, Sepanyol, sementara menunggu ketibaan beberapa kapal lain yang berpatah balik susulan masalah teknikal serta ribut yang melanda laluan mereka dua hari lalu.
Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Zulfadhli Khiruddin, yang turut serta sebagai salah seorang daripada 15 wakil Malaysia, berkata keadaan cuaca kini semakin baik dan kru flotilla sudah menyesuaikan diri dengan rutin harian di atas kapal, menurut laporan Bernama.
“Insya Allah, apabila kapal-kapal lain tiba di Menorca, kita akan kembali bergabung dan bergerak bersama ke destinasi seterusnya iaitu Tunisia, dalam beberapa hari lagi,” katanya dalam kenyataan video semalam.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan serta kejayaan dalam misi flotilla ke Gaza.
“Kami juga berharap masyarakat terus prihatin terhadap nasib saudara-saudara kita di Palestin yang berdepan penindasan setiap hari. Doakan juga agar misi ini berjaya memecahkan kepungan rejim Zionis dan membuka laluan kemanusiaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza,” ujarnya.
Sebanyak 24 kapal flotilla berlepas dari Pelabuhan Barcelona pada Ahad (31 Ogos) dengan membawa mesej kemanusiaan serta bekalan asas. Lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara terlibat, termasuk 15 wakil Malaysia.
Fasa seterusnya akan menyaksikan kumpulan kedua delegasi Malaysia bertolak dari sebuah pelabuhan di Itali pada 4 September, serentak dengan kumpulan ketiga yang kini berada di Tunisia.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal-kapal ini sebagai simbol solidariti global terhadap krisis Gaza.