ASIA
2 min membaca
Malaysia mahu suarakan penderitaan rakyat Palestin dalam lawatan Trump Oktober ini
Mohamad berkata Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kenyataan Pengerusi ASEAN ketika sidang kemuncak pada Oktober bagi menggesa Washington memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian di Gaza.
Malaysia mahu suarakan penderitaan rakyat Palestin dalam lawatan Trump Oktober ini
FOTO FAIL: “Kita yakin Amerika Syarikat, khususnya Trump, juga mahu melihat supaya kekejaman Israel ini dapat dihentikan,” kata Mohamad Hasan. / AP
3 jam yang lepas

KUALA LUMPUR – Malaysia merancang untuk menyampaikan suara rakyat Palestin secara langsung kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Beliau menegaskan bahawa jemputan kepada Trump dibuat sebagai tanggungjawab Malaysia selaku pengerusi ASEAN, namun sidang kemuncak itu juga menjadi platform penting untuk menyampaikan pendirian bersama ASEAN dan negara-negara lain berhubung konflik berterusan di Gaza.

“Jemputan kepada Presiden Trump ini adalah jemputan kita sebagai ketua kepada negara yang akan mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-AS. Kita membuat jemputan dan beliau menyambutnya dengan berkata beliau akan datang ke sini. Saya rasa ada baiknya jika kita dapat bersemuka supaya semua negara-negara dapat menyatakan sendiri pendirian mereka,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mohamad berkata demikian sebagai menjawab soalan Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) yang mempersoalkan sama ada Malaysia akan “menghamparkan karpet merah kepada seorang presiden AS yang tangannya berlumuran darah rakyat Gaza yang tidak berdosa dalam perang genosid ini.”

Beliau menambah bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kenyataan pengerusi ASEAN, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika sidang kemuncak itu bagi menekankan kebimbangan ASEAN serta menggesa Washington memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian di Gaza.

“Sebolehnya, kita mahu menegaskan melalui Kenyataan Pengerusi ASEAN pada pembukaan sidang kemuncak nanti tentang betapa Amerika Syarikat perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah negara kuasa besar supaya keadaan di Gaza dapat diselesaikan dengan segera,” jelasnya.

Menurut Mohamad, ASEAN baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam kekejaman terhadap rakyat Palestin, membuktikan kesepakatan serantau dalam isu ini.

“Kita jangan mencampuradukkan perkara sebab hubungan dua hala (antara Malaysia dan AS) masih ada.

“Di situ (sidang kemuncak Oktober) nanti kita dapat bawa suara ASEAN untuk kita tegaskan betapa ASEAN sebulat suara selepas kita berjaya mengeluarkan kenyataan bersama di mana ASEAN menyatakan ia amat kesal dengan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

“Kita yakin Amerika Syarikat, khususnya Trump, juga mahu melihat supaya kekejaman Israel ini dapat dihentikan,” katanya.

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us