KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan perbelanjaan pertahanan negara meningkat daripada RM3 bilion pada 2020 kepada lebih RM5 bilion tahun lalu, susulan cabaran geopolitik serantau dan global.
Menurut Anwar, tambahan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan itu memberi tumpuan kepada pembangunan serta pembelian aset baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara.
“Baru-baru ini, terdapat peningkatan kehadiran ketenteraan Filipina dan Amerika Syarikat di selatan Filipina, berhampiran Sabah. Saya telah menghubungi Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, dan menurut beliau ia berpunca daripada tindakan ofensif China.
“Namun perkara ini membimbangkan, dan mendorong kita memperkukuh persediaan di Pulau Banggi dan Sabah bagi mempertahankan diri,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mengenai tahap kesiapsiagaan pertahanan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global dan serantau.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan kini memilih kaedah perolehan government-to-government (G2G) dengan negara lain, termasuk Korea Selatan dan Turkiye, bagi mengurangkan kos dan mengelakkan bayaran berlebihan kepada ejen.
“Dengan kaedah ini, kos menurun, barangan yang dipesan sampai, dan pihak kementerian serta angkatan tentera dapat berhubung terus dengan rakan sejawat mereka,” jelasnya.
Anwar turut mengumumkan bahawa dron sistem udara tanpa pemandu dari Turkiye dijadual tiba pada Disember ini, manakala dua set pelancar peluru berpandu jarak sederhana dari Norway akan tiba bulan ini, antara perolehan penting yang sedang dilaksanakan.