Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengumumkan penggantungan import beras selama 60 hari bermula 1 September hingga 30 Oktober 2025, sebagai langkah menstabilkan harga padi tempatan ketika musim menuai, lapor The Nation Thailand.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet berdasarkan cadangan Setiausaha Pertanian Francisco Tiu Laurel.
Jabatan Pertanian Filipina (DA) sebelum ini melaporkan harga padi jatuh mendadak susulan lambakan beras import yang murah. Akibatnya, ada pihak yang membeli padi daripada petani serendah 8–10 peso sekilogram, jauh lebih rendah daripada kos pengeluaran iaitu 12–14 peso sekilogram.
Menurut pejabat perdagangan Thailand di Manila, penggantungan itu hanya melibatkan beras kisar biasa dan sederhana, manakala jenis beras khusus lain seperti basmati dikecualikan.
Langkah ini dijangka membantu menaikkan harga belian padi di peringkat ladang, namun pada masa sama mendorong kenaikan harga runcit sekitar 1–2 peso sekilogram. Pengimport beras Filipina dilaporkan sedang berbincang untuk memohon kelonggaran bagi kontrak yang sudah ditandatangani atau mendesak supaya penggantungan ditarik balik.
Di Bangkok, Kementerian Perdagangan Thailand mengakui eksport negara itu turut terjejas kerana tempahan sedia ada mungkin tidak sempat dihantar sebelum tarikh kuat kuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Arada Fuangtong berkata pihaknya sedang menyiapkan langkah sokongan termasuk memperluaskan pasaran baharu dan memperkukuh kerjasama perdagangan bagi menjamin pendapatan petani.
Antara inisiatif utama ialah mempercepat perjanjian jualan kerajaan-ke-kerajaan (G2G), mempromosi eksport beras putih dan parboiled ke Bangladesh, Arab Saudi serta Iraq, selain misi perdagangan ke Jepun pada 7–11 September 2025 dan menerima delegasi pengimport Hong Kong pada November.
Thailand juga giat mempromosi jenama berasnya di pameran perdagangan antarabangsa, termasuk penganjuran siri jelajah Thailand Rice Convention (TRC).
Thailand sebelum ini mengeksport beras bernilai AS$333 juta ke Filipina pada 2024, meningkat hampir 59 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi separuh pertama 2025 sahaja, sekitar 141,000 tan beras telah dieksport ke Filipina, bersamaan 3.78 peratus daripada jumlah eksport beras keseluruhan Thailand. Arada optimis sasaran eksport 7.5 juta tan untuk tahun ini masih boleh dicapai.