KUALA LUMPUR—Pada pagi Selasa, satu protes aman yang terdiri daripada 41 pertubuhan belia telah berarak dari Tugu Negara menuju ke Parlimen, di mana Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim hadir untuk sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT). Perhumpunan aman ini berkaitan dengan penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2026.
Di dalam Parlimen, Jawatankuasa Bertindak Gabungan Pertubuhan Belia Malaysia yang diketuai oleh Presiden Majlis Belia Malaysia telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk menyeru agar pelaksanaan had umur belia 30 tahun ditangguhkan dan mempertimbangkan semula pindaan terhadap Akta 668.
Sepanduk yang membawa mesej #JusticeForBelia dan #KajiAkta668 merujuk kepada pindaan terhadap Akta 668, iaitu Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Pindaan pada tahun 2019 telah mentakrifkan belia sebagai mereka yang berumur 30 tahun ke bawah dan bukan lagi 40 tahun. Pindaan itu dibuat berdasarkan perbandingan di peringkat antarabangsa, di mana Malaysia mentakrifkan had umur belia pada tahap paling tinggi, iaitu sehingga 40 tahun, jauh lebih tinggi daripada negara-negara benua Afrika dimana belia ditakrifkan sekitar umur 35 tahun.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh, pernah menjelaskan bahawa pindaan ini hanya membabitkan transisi umur kepemimpinan dalam pertubuhan belia. Namun, ada yang khuatir bahawa pertubuhan-pertubuhan belia akan pupus jika pelaksanaan pindaan ini dilakukan tanpa mengambil kira isu-isu yang akan dihadapi oleh pertubuhan tersebut.
Antara cadangan yang diberikan untuk menangani isu pindaan ini adalah dengan memperkenalkan Pemimpin Belia di dalam Akta 668, dimana ia merujuk kepada individu yang memegang jawatan dalam pertubuhan belia agar ditakrifkan sebagai individu yang berumur 15 hingga 35 tahun, dan belia secara am boleh ditakrifkan sebagai individu yang berumur 15 hingga 30 tahun.