Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra bebas daripada pertuduhan hasutan terhadap institusi diraja pada Jumaat, sekali gus melegakan satu daripada ancaman terbesar terhadap dinasti politiknya yang telah mendominasi politik Thailand selama dua dekad.
Keluarga Thaksin sekian lama bertembung dengan elit pro-tentera dan pro-monarki negara itu, yang menganggap gerakan populis mereka sebagai ancaman kepada susunan sosial tradisional Thailand.
Sepanjang pengaruh mereka, politik Thailand diwarnai dengan rampasan kuasa, protes jalanan dan kes mahkamah ketika mereka berebut untuk menguasai tampuk pemerintahan.
Thaksin, 76, berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun susulan kritikannya terhadap Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya, tetapi dibebaskan selepas perbicaraan selama dua bulan.
“Mahkamah menolak pertuduhan terhadap Thaksin, dengan memutuskan bukti yang dikemukakan tidak mencukupi,” kata peguamnya, Winyat Chatmontree, kepada pemberita di Mahkamah Jenayah Thailand di Bangkok.
Namun, dinasti politiknya masih goyah, dengan anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra kini digantung tugas sebagai perdana menteri dan bakal berdepan keputusan mahkamah minggu depan yang mungkin menyaksikan beliau disingkirkan daripada jawatan.
Thaksin meninggalkan mahkamah lebih awal daripada peguamnya, sambil tersenyum dan memberitahu media bahawa kesnya “ditolak” tanpa memberi komen lanjut.
“Mahkamah telah jalankan tugas dengan betul, tapi saya rasa kita belum boleh bertenang,” kata Kamol Orahanta, 66, seorang peniaga makanan, antara kira-kira 150 penyokong Thaksin yang berkumpul di luar mahkamah.
“Saya percaya masih ada yang membencinya dan akan cuba menjatuhkannya dengan cara lain,” katanya kepada AFP.
Kes itu berpunca daripada kenyataan Thaksin lebih sedekad lalu kepada media Korea Selatan berkaitan rampasan kuasa tentera 2014 yang menumbangkan adiknya, Yingluck Shinawatra.
Namun, walaupun beliau dibebaskan, AFP melaporkan kenyataannya tidak dapat dilaporkan secara terperinci kerana undang-undang lese-majeste Thailand yang ketat boleh mencetuskan pertuduhan jenayah.
Legasi politik yang memecah belah
Disayangi dan dibenci pada masa yang sama, Thaksin mengubah politik Thailand pada awal 2000-an dengan dasar populis yang meraih sokongan besar daripada golongan luar bandar.
Tetapi kejayaan itu turut menarik musuh: beliau dan keluarganya dibenci oleh elit berpengaruh dan golongan konservatif, yang melihat pemerintahannya sebagai korup, autoritarian, dan menggugat kestabilan sosial.
Thaksin lahir pada 26 Julai 1949 dalam keluarga etnik Cina terkenal di Chiang Mai. Sebelum menyertai politik, beliau berkhidmat sebagai pegawai polis dan mengumpul kekayaan melalui penubuhan gergasi telekomunikasi Shin Corp.
Kerjaya politiknya melonjak pada 2001 apabila beliau dipilih sebagai perdana menteri pertama Thailand yang menamatkan satu penggal penuh.
Walaupun dasar ekonominya membantu pengundi luar bandar melalui bantuan tunai dan penghapusan hutang, “perang menentang dadah” yang didakwanya menyebabkan kira-kira 2,800 pembunuhan luar undang-undang mendapat kecaman antarabangsa.
Thaksin menang besar sekali lagi pada 2005, tetapi segera dibayangi tuduhan rasuah serta kontroversi penjualan saham Shin Corp tanpa cukai.
Kerajaannya digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2006 ketika beliau berada di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Selepas rampasan kuasa itu, asetnya dibekukan dan beliau memilih buangan sendiri selama 15 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau tetap berpengaruh dalam politik Thailand, sering berucap kepada penyokong melalui media sosial dengan nama samaran “Tony Woodsome.”
Legasi politik Thaksin diteruskan oleh keluarganya.
Adiknya Yingluck menjadi perdana menteri pada 2011, manakala anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra mengambil alih kepimpinan parti Pheu Thai dan dilantik sebagai perdana menteri tahun lalu.
Namun, Paetongtarn kini digantung tugas dan berdepan keputusan mahkamah berhubung kebocoran perbualan telefon mengenai pertikaian sempadan dengan Kemboja.