Penyerang bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah perhentian bas di timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel pada Isnin, membunuh lima orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Polis Israel berkata dua penyerang itu turut terbunuh.
Pihak berkuasa memaklumkan tujuh lagi mangsa berada dalam keadaan serius.
Mangsa yang maut termasuk seorang lelaki berusia “sekitar 50 tahun dan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an,” menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan MDA yang menambah pihaknya sedang memberi merawat beberapa orang yang cedera.
Serangan yang berlaku pada lewat pagi itu di Simpang Ramot di Jalan Yigal mengakibatkan kira-kira 15 orang cedera, menurut kenyataan awal MDA.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata beliau sedang mempengerusikan mesyuarat untuk menilai keadaan selepas insiden tembakan itu.
“Kami menegaskan bahawa operasi ini adalah tindak balas terhadap jenayah penjajahan Israel dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang dilancarkan terhadap rakyat kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Polis berkata penyerang tiba di lokasi dengan sebuah kenderaan dan kemudian melepaskan tembakan ke arah perhentian bas.
“Seorang pegawai keselamatan dan seorang orang awam di lokasi bertindak balas dengan segera, membalas tembakan dan menumpaskan penyerang tersebut,” kata kenyataan itu.
Israel telah membunuh lebih 64,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, dalam peperangannya ke atas Gaza.
Kerajaan sayap kanan Netanyahu turut merancang untuk menambah bilangan penempatan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus menjejaskan prospek kewujudan sebuah negara Palestin pada masa depan.