Singapura merosot lima anak tangga ke tempat ketujuh dalam kedudukan global daya tarikan bakat, sekaligus kehilangan statusnya sebagai peneraju teratas Asia kepada Hong Kong yang melonjak ke tangga keempat, lapor CNA.
Laporan tahunan terbaharu oleh Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Center mengetengahkan kelemahan Singapura dari segi perbelanjaan pendidikan awam—hanya 2.1% daripada KDNK, menduduki tempat ke-63 secara global—dan kos sara hidup yang tinggi, di mana ia berada di kedudukan ke-65.
Kemerosotan paling ketara dialami oleh Singapura adalah dalam pelaburan dan pembangunan, di mana negara itu jatuh dari tangga ke-22 pada tahun 2024 ke kedudukan ke-30.
Walaupun begitu, Singapura mengekalkan kekuatan dalam kesediaan bakat dengan menduduki tempat kedua. Negara itu cemerlang dalam kualiti pendidikan peringkat rendah dan menengah, purata graduan sains, serta keupayaan menarik profesional asing berkemahiran tinggi.
Sistem pendidikannya juga terus dipuji sebagai selaras dengan keperluan ekonomi kompetitif.
Pengarah IMD, Arturo Bris, menyatakan faktor kos sara hidup yang meningkat merupakan sebab orang yang berbakat berhijrah kelaur dari Singapura. Profesor Misiek Psikorski, dekan pendidikan eksekutif di IMD menyatakan pemindahan organisasi ke negara jiran seperti Malaysia dan Vietnam sebagai penyebab kemerosotan tersebut. "Syarikat boleh mendapatkan tenaga kerja berkualiti setara dengan harga lebih rendah," ujar Profesor Misiek Piskorski.
Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul sebagai pesaing serantau yang kukuh dengan kedua-duanya memasuki sepuluh teratas. Hong Kong diiktiraf atas kecemerlangan akademik, manakala UAE unggul dengan sektor swasta yang sangat kompetitif.
Ekonomi Asia lain yang turut tersenarai termasuk Taiwan (ke-17), Malaysia (ke-25), Korea Selatan (ke-37), dan China (ke-38).
Walaupun menghadapi cabaran ini, IMD yakin Singapura mampu pulih dengan pelan strategi untuk menarik kembali bakat dan organisasi global.