Anutin Charnvirakul dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Thailand pada Jumaat selepas meraih sokongan besar dalam undian di Parlimen, sekali gus menamatkan seminggu yang penuh konflik politik.
Beliau menewaskan calon daripada Parti Pheu Thai, iaitu parti berpengaruh keluarga Shinawatra yang suatu ketika dahulu mendominasi politik negara itu.
Anutin, tokoh politik lama yang terkenal sebagai perunding licik, memperoleh lebih daripada separuh sokongan ahli Dewan Rakyat dengan mudah.
Kejayaannya itu hasil gabungan dengan parti pembangkang terbesar, People’s Party, yang dipujuk dengan janji mengadakan referendum bagi meminda perlembagaan serta mengawalkan pilihan raya dalam tempoh empat bulan.
Pheu Thai pula berdepan krisis selepas mahkamah memecat Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan dan pewaris politik bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Kejatuhan itu menandakan satu lagi episod pahit buat keluarga tersebut, yang selama ini menjadi penggerak utama politik Thailand tetapi kini semakin hilang sokongan.
Anutin, 58 tahun, pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kesihatan semasa pandemik COVID-19.
Beliau dikenali sebagai konservatif pro-kerajaan diraja, namun mencatat sejarah dengan menggerakkan usaha menghalalkan ganja di Thailand. Kini, beliau bakal menerajui kerajaan minoriti dalam keadaan ekonomi negara yang bergelut dengan hutang isi rumah tinggi serta kelembapan perbelanjaan domestik.
Kemenangan Anutin dianggap simbol kepada perubahan landskap politik Thailand – daripada pengaruh kuat keluarga Shinawatra kepada era baharu kepimpinan pragmatik yang mampu berunding dengan pelbagai pihak. Namun cabaran besar menanti, khususnya dalam memastikan kestabilan politik serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan baharu ini.