KUALA LUMPUR — Perhimpunan Bersamamu Gaza dan 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege yang dijadualkan berlangsung Ahad ini di Dataran Merdeka bakal menyaksikan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, sekali gus menyeru semua untuk bersama menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pengerusi Kelab Backbenchers Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, setakat ini seramai 30 Ahli Parlimen sudah mengesahkan penyertaan, dengan lebih ramai lagi menunjukkan minat untuk hadir.
“Kami, Ahli-ahli Parlimen Malaysia, dengan penuh tanggungjawab kemanusiaan, mengecam keras jenayah genosid serta pembunuhan kejam 239 wartawan dan pengamal media di Gaza oleh rejim Zionis Israel.
"Serangan sistematik ke atas wartawan ini jelas bertujuan menutup kebenaran daripada sampai kepada masyarakat antarabangsa,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Shahar turut menegaskan sokongan penuh terhadap inisiatif 1000 Flotilla Break the Siege dan Sumud Nusantara, gerakan solidariti kemanusiaan yang diterajui Malaysia bersama rangkaian serantau dan antarabangsa.
Beliau menambah, komitmen Ahli-Ahli Parlimen Malaysia termasuk memastikan misi flotilla itu berjaya menamatkan sekatan zalim Israel serta memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada rakyat Gaza.
“Sekiranya Israel bertindak ganas terhadap misi ini, Malaysia akan menyokong tindakan undang-undang dan diplomatik antarabangsa bagi memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan,” katanya sambil menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti berdiri teguh mempertahankan hak Palestin.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga mengetuai Global Coalition for Jerusalem and Palestine, berkata misi itu dijadual berlayar pada 31 Ogos dari Sepanyol dan 4 September dari Tunisia.
“Sebanyak 44 negara sudah mengesahkan penyertaan. Kami telah menghantar surat kepada sekurang-kurangnya 140 kerajaan serta tokoh-tokoh dunia termasuk Pope Leo XIV, Dalai Lama, Pastor Moscow, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Setiausaha Pertubuhan Kerjasama Islam serta beberapa presiden dan perdana menteri.
“Misi ini bersifat aman, melibatkan orang awam dan berisiko tinggi. Kebarangkalian untuk diserang tetap ada, sebab itu kami mahu kerajaan-kerajaan di seluruh dunia mengiktiraf dan melindungi misi ini. Kami menjangkakan untuk tiba di Gaza pada 20 September,” katanya.