Mahkamah Agung Denmark pada Selasa akan memutuskan kes seorang warganegara Denmark berketurunan Syria yang mendakwa masa yang diluangkannya bersama Daesh adalah sebagai ejen untuk risikan Denmark.
Jika dakwaan itu disokong, Ahmed Samsam boleh cuba membatalkan sabitan 2018 yang diterimanya di Spain kerana menjadi ahli Daesh, sebuah kumpulan pengganas yang cuba merampas wilayah di Syria dan tempat lain.
"Keputusan positif daripada Mahkamah Agung akan membolehkannya, antara lain, memohon perbicaraan semula kes jenayah yang diputuskan di Spain," kata peguam Samsam Rene Offerson.
Tetapi perkara itu menjadi rumit disebabkan pendirian perkhidmatan risikan Denmark yang enggan mengesahkan atau menafikan identiti pemberi maklumat mereka atas sebab keselamatan.
Samsam, yang dihukum penjara lapan tahun oleh mahkamah Madrid yang menyabitkannya, menjalani sebahagian besar masa penjaranya di Denmark, selepas dipindahkan. Beliau dibebaskan pada 2023.
Beliau menafikan sebarang aktiviti pengganas, mengatakan keahliannya dalam Daesh, semasa lawatan ke Syria pada 2013 dan 2014, dilakukan untuk Perkhidmatan Keselamatan dan Risikan Denmark (DSIS) dan, kemudian, Perkhidmatan Risikan Pertahanan Denmark (DDIS).
Dakwaan itu disokong oleh beberapa keterangan dan siasatan kewartawanan yang dibentangkan kepada mahkamah rendah Denmark yang cuba menentukan sama ada dia adalah ejen risikan Denmark atau tidak.
"Setakat yang saya nampak, tidak akan ada komplikasi besar untuk perkhidmatan risikan jika Mahkamah Agung memutuskan memihak kepada Ahmed Samsam," kata Offerson.
"Ini bermakna perkhidmatan risikan perlu mengesahkan bahawa Ahmed Samsam adalah seorang ejen, dan semua orang dah tahu dia memang ejen."
Tetapi Frederik Waage, seorang profesor undang-undang di University of Southern Denmark, berkata pengakuan sedemikian "akan menjadi satu sensasi".
"Ia akan mengganggu operasi agensi risikan Denmark dengan cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam undang-undang Denmark," katanya.
Beliau menekankan kepentingan perkhidmatan risikan untuk mengekalkan sumber mereka tanpa nama — tetapi berkata hujah sedemikian tidak berkesan dalam kes sebegini, memandangkan "dah jadi rahsia awam bahawa Samsam adalah seorang ejen".
Selain tuduhan Daesh, Samsam menghadapi masalah undang-undang lain. Pada hari Isnin, mahkamah rayuan Copenhagen mengekalkan hukuman tiga bulan terhadapnya kerana keganasan terhadap pegawai penguatkuasa undang-undang.