Bagaimana sekatan AS mendorong China berdikari dalam pembuatan cip
Bagaimana sekatan AS mendorong China berdikari dalam pembuatan cip
Ketika AS memperketat akses kepada teknologi cip canggih, syarikat China kini berusaha berdikari bagi jangka panjang dalam sektor semikonduktor.
7 Januari 2025

Semikonduktor, cip kecil yang menggerakkan segala-galanya, daripada telefon pintar hingga kereta, telah menjadi salah satu komponen paling kritikal dalam mendorong kemajuan teknologi moden. 

Dengan perkembangan industri dunia, permintaan untuk cip terus meningkat, didorong oleh kepelbagaian produk teknologi dan keperluan industri global yang semakin meningkat.

Di kala pasaran terus berkembang, muncul persaingan cip antara Amerika Syarikat dan China. 

Sejak 2022, satu siri sekatan oleh AS telah menyasarkan akses China kepada semikonduktor dan cip AI canggih, terutama daripada syarikat seperti Nvidia. 

AS mendakwa sekatan ini bertujuan menghalang China daripada mendapatkan akses AI terkini yang boleh digunakan dalam program senjata nuklear dan konvensional.

“Walaupun ada peningkatan dalam jumlah negara yang menghasilkan teknologi cip, tetapi apabila kita melihat kepada semikonduktor berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan ini, jelas bahawa AS dan China adalah dua pemain utama,” kata Ersin Cahmutoglu, pakar keselamatan siber di ADEO Cyber Security, kepada TRT World. 

Dia menekankan bahawa sekatan ini telah meningkatkan persaingan antara dua negara itu, mengubah apa yang asalnya dlihat sebagai perlumbaan teknologi kepada isu keselamatan negara.

‘Loophole Awan’

Selepas larangan eksport AS, firma di China mula mencari alternatif untuk mengakses teknologi semikonduktor yang kritikal. 

Salah satu jalan penyelesaian utama adalah melalui pengkomputeran berasaskan teknologi awan (cloud-based computing). Firma dari China beralih ke Amazon Web Services (AWS) dan platform teknologi awan lain untuk mengakses cip A100 dan H100 Nvidia, yang penting untuk melatih model AI.

Walaupun sekatan AS menghalang import cip canggih secara fizikal, syarikat China menggunakan kuasa cloud-based computing untuk terus menambah keupayaan AI mereka. 

Paul Triolo, ketua dasar teknologi di Albert Stonebridge Group, menekan tentang strategi yang digunakan syarikat China untuk mengelak sekatan eksport AS.

“Syarikat China lebih memilih GPU Nvidia untuk melatih model mereka dan menyimpan stok yang besar sebelum dan selepas kawalan eksport AS pada Oktober 2022 yang menyasarkan GPU (unit pemprosesan grafik).”

“Ini satu kelemahan besar dalam sistem kawalan eksport AS untuk GPU,” kata Triolo, “iaitu ia tidak termasuk perkhidmatan teknologi awan yang menyediakan akses kepada perkakasan melalui susunan ‘infrastruktur sebagai perkhidmatan’.”

Katanya penyedia perkhidmatan teknologi awan masih dibenar menyediakan perkhidmatan kepada firma China dalam sektor AI kerana “tidak ada undang-undang yang menghalang pada masa ini.”

Rekod awam menunjukkan institusi China seperti Universiti Shenzhen menggunakan perkhidmatan teknologi awan yang disediakan oleh AWS untuk mengelak sekatan.

“Jadi pada masa ini, firma di China boleh menggunakan GPU yang telah disimpan, mengakses GPU dalam awan di luar China, atau menggunakan GPU domestik yang dihasilkan oleh Huawei dan beberapa firma lain,” kata Triolo, yang juga pakar teknologi global, kepada TRT World.

Namun, kelemahan ini sedang diteliti. Pada Januari 2024, Jabatan Perdagangan AS mencadangkan peraturan memperketat akses teknologi awan yang berpotensi menyekat kemampuan syarikat dari China untuk menggunakan perkhidmatan teknologi awan AS, dan ini menambah desakan Beijing untuk pengeluaran cip domestik.

Pengeluaran dalam negeri

Akibat sekatan AS yang menyasarkan eksport semikonduktor canggih dan cip AI, China mula menyalurkan lebih banyak sumber ke dalam industrinya sendiri. 

Triolo berkata langkah ini menjadikan pengeluar alat semikonduktor China lebih kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa dalam beberapa bidang penting untuk pembuatan cip.

Syarikat seperti Huawei, gergasi teknologi berpangkalan di Shenzhen, memainkan peranan utama dalam usaha ini dengan membangunkan cip AI baharu untuk menggantikan cip dari firma AS. 

Pada 2024, Huawei memperkenalkan cip Ascend 910C, iaitu alternatif domestik untuk Nvidia’s A100 —yang dilarang dijual kepada China di bawah kawalan eksport AS pada 2022. 

Menurut sumber, Huawei telah menghantar sampel Ascend 910C kepada firma internet dan syarikat ‘server’ besar di China untuk ujian.

“AS melihat Huawei sebagai ancaman keselamatan dan China juga melihat syarikat seperti Intel dan Nvidia dengan cara yang sama. Dua negara itu telah mengenakan sekatan kerana mereka melihat teknologi cip masing-masing sebagai ancaman,” kata Cagmutoglu. Tambahnya, persaingan ini menunjukkan kepentingan geopolitik teknologi semikonduktor semakin meningkat. 

“Tekanan ini turut dirasai sekutu mereka, dengan AS menggesa negara Eropah untuk melarang produk Huawei.”

Sebagai tindak balas kepada tekanan yang terus meningkat, kerajaan China mengeluarkan panduan kepada syarikat-syarikatnya, menggesa mereka tidak membeli cip H20 Nvidia dan sebaliknya menumpukan pada cip AI yang dihasilkan dalam negara. 

Walaupun arahan ini bukanlah larangan sepenuhnya, pengawal selia China menggalakkan syarikat menyokong vendor tempatan seperti Huawei dan Cambricon.

Usaha Huawei memajukan teknologi cip domestiknya adalah selaras dengan inisiatif nasional. 

Pada 2024, China mengimport peralatan pembuatan cip bernilai $26 bilion, mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan. 

Cahmutoglu menjelaskan, “Strategi China sekarang bertujuan untuk menjadi lebih kuat daripada AS dalam pengeluaran cip. Negara ini bukan sahaja membangunkan alternatif tetapi sedang membina ekosistem yang mampan yang membolehkan mereka mengawal rantaian bekalan semikonduktor mereka sendiri.”

China Telecom, salah satu pengendali telekom terbesar milik kerajaan di negara itu, baru-baru ini mengumumkan pembangunan dua model bahasa besar (LLM) canggih yang dilatih sepenuhnya menggunakan cip buatan China, termasuk pemproses AI Huawei. 

Ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha China untuk berdikari, menunjukkan bahawa syarikatnya semakin mempunyai kemampuan walaupun berdepan sekatan Washington.

China Telecom berkata syarikat itu menggunakan puluhan ribu cip buatan tempatan untuk melatih model TeleChat2-115B dan satu lagi model tanpa nama. 

TeleChat2-115B memiliki lebih daripada 100 bilion parameter, yang menunjukkan tahap kecanggihan pembangunan model AI di China yang semakin meningkat.

Menurut laporan ITIF, China kini mendahului dalam jumlah penerbitan penyelidikan AI di peringkat global dan sedang merapatkan jurang dengan AS dalam model AI generatif. 

Walaupun kebiasaannya penyelidikan di China ketinggalan dari segi impak dan penglibatan sektor swasta, inisiatif daripada institusi seperti Universiti Tsinghua telah melahirkan beberapa syarikat AI terkemuka di negara itu seperti Zhipu AI dan Baichuan AI. 

Laporan itu mendedahkan bahawa China kini menghasilkan lebih banyak penyelidikan AI berbanding AS, dengan universiti seperti Universiti Tsinghua menjadi “tapak lahirnya syarikat AI terkemuka di China.”

Implikasi Masa Depan

Dengan bekerjasama secara aktif bersama syarikat tempatan seperti China Telecom dan Cambricon, Huawei meletakkan asas untuk ekosistem pembangunan AI yang menyeluruh yang menggunakan cip tempatan. 

Kerjasama ini bertujuan mengurangkan kebergantungan China pada Nvidia dan pembekal AS lain, menjadikannya kurang terdedah kepada sekatan pada masa hadapan.

Ketika China terus memajukan keupayaan semikonduktor domestiknya, kesannya dirasai di peringkat global. 

Salah satu akibat utama susulan usaha China untuk berdikari adalah kesannya terhadap firma AS dan sekutunya. 

Paul Triolo menyatakan bahawa “yang paling rugi adalah pembuat dari AS dan sekutunya, yang kehilangan hasil berbilion dolar, ada yang terpaksa membuang pekerja dan menutup fasiliti, dan pada masa sama kehilangan sebahagian pasaran di China kepada pesaing.”

Namun, masih ada cabarannya. 

Walaupun cip AI Huawei, seperti Ascend 910C, sedang dipamerkan sebagai alternatif kepada Nvidia A100, kebanyakkan pakar masih berhati-hati untuk memastikan cip ini setanding dengan yang dikeluarkan firma dari Amerika.

“Walaupun begitu, tiada siapa boleh katakan China tidak mampu mengejar pada masa depan. Mereka telah memulakan proses ini dengan Huawei dan mungkin akan meluaskannya kepada syarikat tempatan lain. AS cuba menghalangnya melalui sekatan dan tekanan politik, tetapi belum pasti jika ia akan berjaya,” kata pakar Cahmutoglu. 

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us