ASIA
2 min membaca
Malaysia seru kerjasama dan solidariti ASEAN untuk tangani jenayah rentas sempadan
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menegaskan isu itu perlukan kerjasam antara negara-negara ASEAN.
Malaysia seru kerjasama dan solidariti ASEAN untuk tangani jenayah rentas sempadan
Malaysia menggesa negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan. / AP
5 jam yang lepas

Malaysia menggesa negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan dalam usaha melindungi nyawa, memulihkan maruah dan memberikan harapan kepada komuniti terjejas, lapor Bernama.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan isu ini tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana negara secara bersendirian, sebaliknya memerlukan semangat solidariti kukuh dalam kalangan anggota ASEAN.

“Seperti peringatan peribahasa Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Inilah teras ASEAN yang berlandaskan solidariti, kerjasama dan kepercayaan,” tegasnya dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Rasmi Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19.

Turut hadir Menteri Besar Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Saifuddin Nasution menyampaikan penghargaan khas kepada negeri Melaka yang menjadi tuan rumah majlis ini dengan semangat keterbukaan dan kerjasama selari dengan sejarah gemilang bandaraya ini.

“Selaku wakil semua delegasi ASEAN, kami menzahirkan ribuan terima kasih kepada Melaka yang membuka hati dan pintu buat kami. Sangat wajar Melaka yang suatu ketika dahulu merupakan titik pertemuan agung dunia, kekal sebagai hab dinamik menjadi tuan rumah persidangan penting ini,” ujarnya.

Beliau menekankan ASEAN bukan sekadar mengenai dokumen atau deklarasi, tetapi mengenai rakyat, persahabatan dan jaminan bahawa apabila krisis melanda, negara anggota akan berdiri seiringan sebagai jiran, rakan kongsi dan sahabat.

“Malaysia amat berbangga mempengerusikan AMMTC tahun ini. Bagi saya, ini lebih daripada tanggungjawab; ia merupakan suatu keistimewaan untuk bergerak seiring rakan sebangsa ASEAN dalam misi membina rantau yang lebih selamat dan aman untuk generasi akan datang,” tegas beliau.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober di Kuala Lumpur dengan kehadiran Donald Trump. Turut dijangka hadir ialah Presiden Brasil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa. Di bawah pengerusian Malaysia dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan," Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi salah satu perhimpunan terbesar dalam sejarah blok tersebut.

SUMBER:TRT World and Agencies
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us