ASIA
2 min membaca
Pelancongan Malaysia melonjak RM291.9 bilion pada 2024
Pada 2023, sektor ini menyumbang 14.9 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan nilai RM271.9 bilion.
Pelancongan Malaysia melonjak RM291.9 bilion pada 2024
FOTO FAIL: Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 25.1 peratus atau RM98.4 bilion, menurut DOSM. / AFP
9 jam yang lepas

Industri pelancongan Malaysia terus mencatatkan perkembangan positif apabila berjaya menjana RM291.9 bilion pada 2024, sekali gus menyumbang 15.1 peratus kepada ekonomi negara, menurut Statistik Tourism Satellite Account 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Jumaat, lapor Bernama.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, pada 2023 sektor ini menyumbang 14.9 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan nilai RM271.9 bilion.

“Dari segi prestasi, industri pelancongan berkembang 7.4 peratus pada 2024 berbanding 10.9 peratus pada 2023,” katanya.

Sektor utama penyumbang

Beliau menjelaskan, perdagangan runcit mencatat pertumbuhan 5.9 peratus, makanan dan minuman 5.7 peratus, manakala perkhidmatan lain seperti kesihatan, pendidikan, MICE dan spa meningkat 9.9 peratus.

Secara keseluruhan, perdagangan runcit menyumbang 52.9 peratus atau RM154.5 bilion, makanan dan minuman 16.3 peratus (RM47.7 bilion), manakala perkhidmatan lain 13.3 peratus (RM39 bilion). Tiga subsektor ini secara kolektif mewakili 82.5 peratus daripada keseluruhan industri pelancongan.

Katanya lagi, hampir semua subsektor pelancongan telah melepasi paras pra-pandemik 2019, kecuali penginapan serta pengangkutan penumpang yang masih belum pulih sepenuhnya.

Pelancongan masuk dan domestik

Mohd Uzir turut memaklumkan perbelanjaan pelancongan masuk berkembang 41.1 peratus atau RM107 bilion pada 2024.

“Pertumbuhan ini didorong aktiviti membeli-belah (36.1 peratus), diikuti pengangkutan penumpang (19.1 peratus) dan penginapan (18.5 peratus). Bahagian terbesar datang daripada pelancong (96.1 peratus), manakala baki 3.9 peratus daripada pengunjung harian,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 25.1 peratus atau RM98.4 bilion, disumbangkan terutamanya oleh aktiviti membeli-belah serta makanan dan minuman. Pelancong domestik mewakili 57.8 peratus manakala pengunjung harian 42.2 peratus.

“Secara keseluruhan, penggunaan pelancongan dalaman berkembang 33 peratus pada 2024 berbanding 66.1 peratus pada 2023,” tambah beliau.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us