Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meneruskan hari ketiga lawatan kerja beliau ke China pada Selasa, dengan pertemuan berprofil tinggi di Beijing, yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik dan meluaskan kerjasama perdagangan dua hala, lapor Bernama.
Agenda utama hari ini ialah kunjungan hormat Anwar ke atas Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People pada jam 6 petang, menandakan komitmen Malaysia untuk memperteguhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin.
Ini merupakan pertemuan keempat antara kedua-dua pemimpin selepas lawatan rasmi Xi ke Malaysia pada April lalu.
Anwar dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang, dan disusuli dengan jamuan makan malam istimewa yang dihoskan oleh Li di Diaoyutai State Guesthouse.
Menurut Duta Besar Malaysia ke China Norman Muhamad jamuan itu, yang diadakan bagi pihak Presiden Xi, merupakan satu-satunya majlis makan malam eksklusif yang dianjurkan kerajaan China untuk pemimpin asing pada tempoh ini.
Selain mesyuarat kerajaan, Anwar turut dijadualkan mengadakan beberapa perbincangan perniagaan dengan gergasi e-dagang JD.com serta Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA). JD.com yang tersenarai dalam Nasdaq 100 dan Fortune Global 500 kini merupakan peruncit e-dagang terbesar di China, dengan lebih 580 juta pengguna dan jaringan penghantaran yang mampu menyiapkan 90 peratus pesanan dalam hari sama atau keesokan harinya.
CSIA pula ialah badan bukan untung yang menghimpunkan syarikat, pakar dan institusi berkaitan pengeluaran, reka bentuk serta pembangunan industri semikonduktor.
Pertemuan ini dilihat penting memandangkan Malaysia berhasrat mengukuhkan peranannya dalam rantaian bekalan global teknologi tinggi.
Selain itu, Anwar dijadualkan menghadiri Dialog Ekonomi dan Perniagaan Malaysia-China bersama 180 pemimpin industri dari pelbagai sektor ekonomi di China.