Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul, mengumumkan barisan Kabinetnya yang dianggap mampu memberi keyakinan semula kepada pelabur selepas negara itu dilanda ketidaktentuan politik sejak beberapa tahun lalu, lapor Bloomberg.
Tindakan pantas Anutin ini dilihat penting memandangkan beliau telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh empat bulan.
Pasaran saham Thailand kini antara yang paling lemah di Asia, susut hampir 10 peratus tahun ini berbanding kenaikan 17 peratus indeks Asia-Pasifik MSCI.
Pelabur asing juga telah mengeluarkan dana bersih berjumlah AS$2.5 bilion. Namun, mata wang baht mencatatkan pengukuhan sekitar 6 peratus tahun ini, disokong kelemahan dolar Amerika Syarikat dan lonjakan harga emas.
Antara tokoh yang dipilih termasuk Ekniti Nitithanprapas sebagai Menteri Kewangan, Auttapol Rerkpiboon — bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga gergasi PTT Pcl — sebagai Menteri Tenaga, serta diplomat berpengalaman Sihasak Phuangketkeow sebagai Menteri Luar. Pemilihan tokoh luar yang berpengalaman ini dilihat mampu membawa kesinambungan dasar ekonomi dalam tempoh singkat pentadbiran baharu.
Anutin naik ke tampuk kuasa selepas bekas perdana menteri Paetongtarn Shinawatra disingkirkan. Keadaan itu menambah tekanan kepada ekonomi Thailand yang sedia terbeban dengan hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara, kelembapan sektor pelancongan, serta kesan tarif Amerika Syarikat.
Unjuran pertumbuhan ekonomi Thailand tahun ini hanya sekitar 2 peratus, jauh ketinggalan berbanding Indonesia dan Filipina.
Penganalisis menjangkakan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan dan Bank of Thailand akan bekerjasama rapat menyelaras dasar fiskal serta monetari bagi mengatasi cabaran mendesak.
Bagaimanapun, ruang fiskal kerajaan terhad, manakala kadar faedah pula sudah berada pada paras rendah sejak beberapa tahun. Situasi ini menjadikan dasar monetari dijangka lebih dominan berbanding rangsangan fiskal.
Walaupun barisan Kabinet baharu itu dilihat sebagai perkara positif oleh pasaran, penganalisis menegaskan pelabur masih menunggu penjelasan penuh mengenai dasar ekonomi kerajaan.
Faktor global termasuk pergerakan dolar Amerika dan harga emas dijangka terus menjadi penentu utama prestasi baht, sementara kerajaan baharu berdepan masa yang singkat untuk membuktikan kemampuannya.