Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mengunjungi Malaysia pada bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menurut laporan Bernama.
Bercakap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan Ambank di Kuala Lumpur, Anwar berkata Trump sendiri telah menghubunginya bagi menyatakan hasratnya untuk menghadiri sidang berkenaan yang akan turut disertai Perdana Menteri China Li Qiang.
“Presiden Trump menghubungi saya untuk memaklumkan bahawa beliau akan datang ke Malaysia bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya.
Perdana Menteri mendedahkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin juga sedang mempertimbangkan untuk turut hadir ke Malaysia selepas pertemuan mereka di Beijing baru-baru ini.
“Presiden Putin bertemu saya di Beijing dan menyatakan beliau sedang mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia. Jadi, anda ada Donald Trump, Presiden Putin dan Li Qiang,” ujar Anwar.
Beliau menegaskan kehadiran pemimpin dunia itu mencerminkan kepentingan geopolitik Malaysia yang semakin meningkat meskipun berdepan ketidaktentuan global.
“Waktu ini memang mencabar. Namun saya tetap optimis kerana kita ada daya tahan — daya tahan ekonomi dan domestik. Tiada sebab mengapa kita tidak mampu atasi cabaran kerana asas kita kukuh,” katanya.
Dalam konteks kestabilan dalaman, Anwar menegaskan kerajaan pimpinannya komited memastikan kestabilan politik dan dasar yang jelas, yang menurutnya penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur.
“Politiknya stabil. Yang lebih penting pada saya ialah fokus kepada dasar yang boleh menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Dasar itu perlukan konsep ekonomi yang jelas… kejelasan dalam polisi sama ada semikonduktor nasional, pelan peralihan tenaga atau transformasi digital,” katanya.
Anwar menambah bahawa keamanan, kestabilan serta kekuatan ekonomi dan budaya Malaysia menjadikannya sebagai rakan yang dipercayai di rantau itu.