Penyerang Liverpool Mohamed Salah mengkritik kenyataan UEFA ke atas Allahyarham Suleiman Al-Obeid yang dikenali sebagai “Pele Palestin”, selepas badan induk bola sepak Eropah itu gagal menyatakan bahawa beliau dibunuh oleh Israel ketika sedang menunggu bantuan makanan di Gaza yang terkepung.
Dalam satu hantaran ringkas di platform media sosial X pada Sabtu, UEFA menyifatkan bekas pemain kebangsaan itu sebagai “bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak.”
Ciapan UEFA itu tidak menyebut bagaimana beliau mati, serta tiada kecaman atau gesaan dibuat untuk gencatan senjata di Gaza.
Salah membalas ciapan tersebut: “Boleh beritahu kami bagaimana dia mati, di mana, dan mengapa?”
Persatuan Bola Sepak Palestin berkata Al-Obeid, 41, terbunuh akibat serangan udara Israel yang menyasarkan orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Gaza.
Salah, bintang Mesir berusia 33 tahun, sebelum ini pernah menggesa agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza dan supaya gencatan senjata dicapai dengan segera.
Salah kini merupakan antara pemain terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, berada di kedudukan kelima senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 186 gol dan 87 bantuan jaringan. Beliau juga merupakan salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini.
Pembunuhan beramai-ramai terhadap atlet
Israel telah membunuh lebih 800 atlet Palestin sejak 7 Oktober 2023, menurut pegawai Palestin.
Menurut PBB, Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin sejak 27 Mei ketika mereka mencari makanan di bawah program penuh kontroversi, Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong AS-Israel, yang dikecam sebagai “perangkap untuk membunuh.”
Persatuan Bola Sepak Palestin berkata dalam satu kenyataan: “Bekas pemain pasukan kebangsaan Suleiman al-Obaid telah gugur syahid dalam serangan oleh tentera penjajah ketika sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.”
Al-Obeid, 41, yang dilahirkan di Gaza dan bapa kepada lima orang anak, dianggap sebagai salah seorang bintang paling bersinar dalam sejarah bola sepak Palestin. Beliau bermain 24 perlawanan rasmi untuk pasukan kebangsaan dan menjaringkan dua gol.