ASIA
3 min membaca
Presiden Filipina pecat ketua polis negara
Nicolas Torre III terkenal dengan kes tangkap bekas Presiden Rodrigo Duterte dan televangelis Apollo Quiboloy.
Presiden Filipina pecat ketua polis negara
Nicolas Torre III terkenal dengan kes tangkap bekas Presiden Rodrigo Duterte dan televangelis Apollo Quiboloy. / AP
27 Ogos 2025

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. memecat Ketua Polis negara, Jeneral Nicolas Torre III, yang terkenal kerana mengetuai operasi penangkapan bekas Presiden Rodrigo Duterte atas perintah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta televangelis Apollo Carreon Quiboloy, yang disenarai paling dikehendaki FBI atas tuduhan pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan seksual, menurut kenyataan rasmi kerajaan pada hari Selasa.

Setiausaha Eksekutif, Lucas Bersamin tidak menyatakan sebab pemecatan Torre sebagai ketua pasukan polis seramai 232,000 anggota itu, jawatan yang disandangnya sejak dilantik Marcos pada Mei lalu dan dijangka berkhidmat sehingga 2027. Beliau digantikan dengan seorang jeneral polis kanan, Jose Melencio Nartatez Jr., yang sudah mengangkat sumpah pada hari Selasa.

Dalam surat kepada Torre yang diumumkan kepada media, Bersamin memaklumkan beliau dipecat serta-merta sebagai ketua polis atas perintah Presiden dan diarahkan "memastikan proses penyerahan semua urusan, dokumen dan maklumat berkaitan jawatannya berjalan dengan teratur."

Torre tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Sebelum pemecatannya, Torre dilaporkan mempunyai pendirian berbeza dengan pegawai kerajaan berhubung keputusannya memecat lebih sedozen pegawai polis, termasuk Nartatez. Suruhanjaya Polis Kebangsaan mengarahkan pegawai-pegawai itu dikembalikan ke jawatan mereka pada bulan ini, namun arahan tersebut didakwa tidak dilaksanakan dengan segera.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Jonvic Remulla berkata dalam satu sidang media, "Beliau tidak melanggar undang-undang, tidak didakwa secara jenayah atau pentadbiran. Ini semata-mata pilihan Presiden untuk membawa hala tuju baru dalam pasukan polis negara," tanpa memberikan huraian lanjut.

Menurut Remulla, Marcos dan Torre mempunyai "hubungan yang baik dan produktif," namun beliau menegaskan "kita sebuah negara yang diperintah undang-undang, bukan individu, institusi harus lebih besar daripada orang yang menjalankannya."

“Hanya Presiden boleh menjawab secara khusus sebab Torre dipecat,” kata Remulla. Tidak jelas sama ada Torre akan ditawarkan jawatan kerajaan yang lain.

Beberapa hari lalu, Torre mendemonstrasikan kepada Marcos sebuah bilik operasi anti-jenayah di ibu pejabat polis yang membolehkan pegawai berkomunikasi pantas melalui radio dua hala dan sistem komunikasi lain bagi menangani masalah undang-undang dalam masa lima minit atau kurang.

Pada Mac lalu, Torre mengetuai operasi penangkapan Duterte yang kucar-kacir di lapangan terbang antarabangsa Manila dan penyerahannya kepada pihak ICC di Belanda berikutan tindakan kerasnya membasmi dadah yang mengakibatkan banyak kematian. 

Duterte, yang tamat penggal enam tahun sebagai presiden pada 2022, dituduh melakukan jenayah kemanusiaan dalam kempen membasmi dadah semasa pentadbirannya yang menyaksikan beribu-ribu suspek terbunuh dalam serbuan polis, membimbangkan Amerika Syarikat, kerajaan Barat lain dan pertubuhan hak asasi manusia.

Duterte menafikan mengarahkan pembunuhan suspek dadah tetapi pernah mengugut secara terbuka untuk membunuh mereka yang disyaki pengedar dadah ketika beliau menjadi datuk bandar Davao dan kemudiannya sebagai presiden.

Tahun lalu, Torre mengawal operasi penangkapan pendakwah Quiboloy, penyokong utama Duterte yang disenarai paling dikehendaki FBI selepas didakwa atas kes penderaan seksual dan pemerdagangan kanak-kanak bawah umur di AS. Torre, yang ketika itu ketua polis wilayah Davao, mengetuai beribu-ribu anggota polis yang berhadapan dengan penyokong Quiboloy yang membantah penangkapan pemimpin agama itu di kompleks gerejanya yang luas.

Quiboloy dan peguamnya menafikan semua tuduhan.

Sejak itu, Quiboloy ditahan di penjara metropolitan Manila bagi tiga kes jenayah yang serupa dengan kesnya di AS, dan Duta Filipina ke Washington, Jose Manuel Romualdez menyatakan pihak AS memohon penyerahan balik.

SUMBER:AP
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us