KUALA LUMPUR – Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, tiba di Putrajaya pada hari Rabu bagi mengadakan Perundingan Pemimpin Tahunan ke-26, menandakan komitmen bersama untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala yang sudah lama terjalin.
Dalam kenyataan bersama dari Wisma Putra, kerjasama ekonomi, terutamanya dengan Sabah dan Sarawak, menjadi teras perbincangan. Kolaborasi dalam tenaga, pelancongan, industri halal, serta projek interkoneksi kuasa antara Lumut, Kuala Belait dan Tudan diperkukuh bagi memanfaatkan sumber bersama di Borneo. Inisiatif connectivity seperti Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan Lebuhraya Pan Borneo disambut baik bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan.
Dalam isu ASEAN, kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Myanmar dan menyerukan gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN. Mereka juga melahirkan penghargaan mendalam terhadap langkah-langkah positif yang diambil oleh Kemboja dan Thailand untuk mencapai persetujuan gencatan senjata sebagai tindak balas kepada ketegangan baru-baru ini di sepanjang sempadan bersama mereka.
Keputusan oleh Kemboja dan Thailand untuk mengurangkan permusuhan dan meneruskan penyelesaian diplomatik mencerminkan nilai-nilai murni yang berkekalan iaitu saling menghormati, tidak campur tangan, dan penyelesaian pertikaian secara aman yang menjadi teras perpaduan ASEAN. Para Pemimpin turut menegaskan semula sokongan padu mereka terhadap semua usaha serantau yang mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kerjasama.
Berkenaan isu Gaza, Brunei dan Malaysia mengutuk keras krisis kemanusiaan di Gaza yang disebabkan oleh genosid yang dilakukan oleh Israel yang menduduki tanah Palestin secara haram. Kedua-dua pemimpin menyelar keganasan dan sekatan kemanusiaan yang telah mengakibat ribuan korban jiwa, kebuluran sistematik, pemindahan paksa secara meluas, dan kekurangan kritikal bekalan penyelamat nyawa. Mereka juga menolak sekeras-kerasnya rancangan Israel sebagai kuasa pendudukan untuk menakluk Gaza dengan sepenuhnya yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, resolusi-resolusi PBB, dan Piagam PBB.
Pertemuan ini turut menyaksikan kemajuan dalam beberapa MoU, termasuk program perjalanan kerap untuk warga kedua-dua negara dan perjanjian pemindahan banduan. Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan hasil perundingan dan bersetuju untuk meneruskan Perundingan Pemimpin Tahunan ke-27 di Brunei pada tahun 2026.