Pertempuran di sempadan Kemboja-Thailand yang mengakibatkan lebih 40 kematian dan memaksa 300,000 penduduk awam meninggalkan kediaman mereka, dilihat sebagai ujian besar terhadap kredibiliti pertubuhan serantau itu di tengah meningkatnya ketegangan geopolitik global, menurut laporan media tempatan.
Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, dalam ucapannya di Forum ASEAN & Asia ke-17 yang berlangsung di Singapura, tidak menafikan hakikat bahawa insiden ini merupakan "langkah mundur yang besar" bagi ASEAN yang mempersoalkan isu kredibiliti berkenaan pertubuhan ASEAN di rantau itu.
Konflik sempadan ini berlaku pada waktu yang amat genting bagi ASEAN. Pertubuhan serantau itu sedang berdepan dengan krisis politik berlarutan di Myanmar, di mana junta tentera terus enggan melaksanakan pelan damai yang dipersetujui bersama. Pada masa yang sama, tekanan persaingan strategik antara Amerika Syarikat dan China, serta kecenderungan global ke arah dasar perdagangan yang lebih proteksionis, semakin menyukarkan kedudukan negara-negara anggota.
Sebagai respons terhadap cabaran ini, ASEAN sedang mempergiat usaha untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau. Salah satu langkah penting ialah proses menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dijangka akan ditandatangani pada bulan Oktober ini. Selain itu, kerangka kerja baru mengenai ekonomi digital juga sedang digiatkan bagi memastikan negara-negara anggota tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
Namun, kejadian di sempadan Kemboja-Thailand ini telah mendedahkan kelemahan struktur ASEAN dalam mencegah konflik sebelum ia meletus. Walaupun tindakan pantas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memediasi gencatan senjata patut dipuji, banyak pihak mempersoalkan mengapa mekanisme pencegahan konflik yang sedia ada tidak berfungsi dengan efektif.
Menurut Balakrishnan, ASEAN memerlukan pendekatan "multilateralisme yang lebih fleksibel" yang membolehkan negara-negara anggota yang lebih progresif untuk bergerak maju dalam pelbagai inisiatif tanpa perlu dikongkong oleh negara-negara yang enggan bekerjasama. Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan ASEAN tidak terus terkebelakang dalam menangani isu-isu kritikal serantau.
Bagi negara kecil seperti Singapura, kelangsungan hidup dalam era geopolitik yang semakin mencabar ini memerlukan strategi tiga dimensi: reformasi institusi-institusi global, pengukuhan hubungan serantau melalui; dan ketiga, pembinaan ketahanan ekonomi domestik yang kukuh.
Berkenaan hubungan Singapura dengan AS dan China, Balakrishnan menegaskan bahawa dasar luar negeri adalah untuk mengemudi lapangan di antara AS dan China yang bersesuaian dengan negara itu tanpa dipaksa oleh kedua-dua pihak.
Menteri Luar Singapura itu bercakap di sesi Forum ASEAN dan Asia yang ke-17 yang dihadiri oleh 300 warga diplomat, pakar akademik, dan ahli-ahli perniagaan yang diadakan di Singapura.