Pada 13 Jun, Israel melancarkan serangan tanpa provokasi terhadap Iran dengan matlamat bukan sahaja untuk memusnahkan program nuklear Tehran, tetapi juga berpotensi mencetuskan perubahan rejim di negara itu.
Antara ratusan mangsa yang terkorban di Iran termasuk berbelas saintis nuklear dan lebih dua puluh pegawai kanan tentera, termasuk ketua staf dan ketua Pengawal Revolusi.
Iran membalas serangan tersebut dengan menyasarkan pangkalan tentera Israel, melepaskan ratusan peluru berpandu dan dron yang berjaya menembusi sistem pertahanan Iron Dome yang sering dibanggakan oleh negara Zionis itu.
Selama beberapa dekad, Israel sering membuat bising, khususnya kepada Amerika Syarikat dan sekutunya di Barat mengenai cita-cita nuklear Iran. Namun, ini adalah salah satu episod paling ironik dalam hubungan antarabangsa.
Israel telah lama disyaki memiliki senjata nuklear walaupun tidak pernah mengaku secara rasmi dan dengan mudah boleh menyatakan keengganannya menyertai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Namun, ironiknya, Israel sibuk berusaha untuk membongkar program nuklear Iran, sebuah negara yang memang telah menandatangani NPT dan membenarkan pihak antarabangsa membuat pemeriksaan.
Tingkah laku antagonistik Israel ini bukanlah perkara baharu. Pada 1981 dan 2007, Israel memusnahkan reaktor nuklear Iraq dan Syria. Dalam kedua-dua kejadian itu, masyarakat antarabangsa berdiam diri, gagal mengenakan sekatan ke atas Israel atau mencegahnya daripada terus bertindak agresif.
Kisah yang terbongkar
Seymour Hersh, dalam bukunya The Samson Option pada 1991, memperincikan bagaimana Israel membangunkan program senjata nuklear sejak 1950-an tanpa perlu berdepan dengan apa-apa penilaian atau penelitian dari pihak antarabangsa kecuali sedikit tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, John F. Kennedy, pada awal 1960-an.
Pada 1960, AS mengesan kemudahan nuklear Dimona milik Israel melalui risikan dan pengawasan udara. Israel pada mulanya mendakwa lokasi itu adalah kilang tekstil, namun kemudian berkata ia adalah reaktor penyelidikan.
Kennedy, seorang pemimpin yang menentang penggunaan senjata nuklear, menganggap aktiviti rahsia nuklear Israel sebagai ancaman kepada kestabilan global.
Antara 1961 hingga 1963, beliau menuntut agar pemeriksaan tetap dari AS dijalankan di kemudahan Dimona dan menghantar beberapa surat kepada Perdana Menteri Israel ketika itu, David Ben-Gurion, bagi menuntut ketelusan.
Pada April 1963, Kennedy memberi amaran bahawa sokongan AS boleh terjejas jika Israel tidak patuh. Ben-Gurion tiba-tiba meletak jawatan sebelum memberi maklum balas. Penggantinya, Levi Eshkol, melengah-lengahkan dan mengelak pemeriksaan menyeluruh.
Martin Sandler, seorang pakar terkemuka dalam kajian mengenai Kennedy yang juga merupakan sejarawan Amerika, mencadangkan—selepas meneliti dokumen era Kennedy—bahawa agensi perisikan Israel, Mossad, mungkin merancang pembunuhan Kennedy bagi menghentikan tekanan dari AS.
Selepas kematian Kennedy, penggantinya Lyndon B. Johnson melonggarkan tuntutan AS dan membenarkan program nuklear Israel diteruskan tanpa sekatan.
Walaupun Israel tidak pernah mengisytiharkan secara rasmi senjata nuklearnya, pelbagai bukti kukuh menyokong kewujudannya. Bukti paling ketara muncul pada 1986 apabila juruteknik nuklear Israel, Mordechai Vanunu, membocorkan gambar dan butiran teknikal program nuklear Israel kepada The Sunday Times.
Pakar antarabangsa membuat kesimpulan bahawa Israel memiliki sekurang-kurangnya 100 hulu ledak nuklear menjelang pertengahan 1980-an. Tambahan pula, laporan risikan, imejan satelit dan pendedahan pemberi maklumat turut mengesahkan keupayaan nuklear Israel.
Bekas Presiden AS Jimmy Carter dan Setiausaha Negara Colin Powell kedua-duanya secara terbuka pernah mengakui kewujudan senjata nuklear Israel.
Penganalisis menganggarkan Israel kini memiliki antara 100 hingga 400 hulu ledak, berserta sistem pelancar melalui peluru berpandu, kapal selam dan pesawat.
Namun begitu, Israel tidak pernah dikenakan sekatan. Apabila NPT dijadikan perjanjian kekal pada 1995, negara-negara serantau seperti Mesir bersetuju dengan janji AS bahawa Israel akan menyertainya. Seperti yang kita tahu, ini tidak pernah berlaku dan Israel tidak pernah ditekan untuk menyertai.
Sejak 1974, Iran, Mesir, dan kuasa serantau lain menggesa agar Asia Barat dijadikan zon bebas senjata nuklear. Selama lebih empat dekad, Perhimpunan Agung PBB telah secara besar-besaran mengesahkan semula pendirian ini setiap tahun. Iran menyokong dasar ini manakala Israel terus mengabaikan atau menolaknya.
Kemunafikan Barat
Sebagai penandatangan NPT, Iran dilarang membangunkan senjata nuklear tetapi berhak meneruskan tenaga nuklear untuk tujuan aman. Di bawah pemantauan ketat IAEA, kemudahan nuklear Iran telah diperiksa ribuan kali, tanpa sebarang bukti kukuh mengenai pembinaan senjata.
Pada 2015, Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dengan enam kuasa dunia, bersetuju untuk menghadkan pengayaan uranium, mengurangkan stok nuklearnya, dan membenarkan pemeriksaan yang ketat. Pakar antarabangsa bersetuju bahawa JCPOA telah memanjangkan tempoh masa Iran untuk membina senjata (breakout time) kepada lebih setahun.
Dakwaan Israel dan ramai pemimpin AS bahawa Iran mempunyai bom nuklear masih belum dibuktikan. Malah “Arkib Atom” yang diperoleh Mossad pada 2018 gagal memberikan bukti muktamad mengenai program senjata yang aktif.
Anggaran Risikan Kebangsaan AS sejak 2003 menyimpulkan bahawa Iran menghentikan program senjata nuklearnya pada 2003 dan tidak menyambungnya semula.
Sehingga Mac 2025, Pengarah Risikan Kebangsaan AS, Tulsi Gabbard, mengesahkan bahawa Iran tidak membangunkan senjata nuklear. Iran tidak membangunkan atau menguji hulu ledak, sistem pelancar, atau pencetus letupan—komponen penting dalam sesebuah program senjata.
Penting untuk difahami bahawa Iran menentang penggunaan senjata nuklear disebabkan pegangan agama dan moral yang kuat. Pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, telah mengeluarkan fatwa bertulis pada 2003 yang mengharamkan senjata nuklear dalam Islam. Fatwa ini telah diulang berkali-kali.
Hipokrasi sistem antarabangsa sangat ketara. Sementara Israel kekal di luar NPT, menyimpan senjata nuklear secara rahsia dan tidak dikenakan sebarang hukuman, Iran—yang telus dan bekerjasama sebagai ahli NPT—terus dikenakan sekatan dan ancaman serangan.
Tiada bukti bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear. Namun, tindakan agresif yang dimulakan Israel, disokong oleh AS dan sekutunya, mungkin akan menyebabkan perubahan dasar.
Pengajaran ironik—yang telah lama difahami oleh Korea Utara—ialah bahawa memiliki senjata nuklear mungkin satu-satunya cara yang berkesan untuk menghalang perubahan rejim dan pencerobohan kuasa asing.
Sekiranya Iran memiliki senjata nuklear, besar kemungkinan ia tidak akan diserang atau diancam kewujudannya. Selepas berdekad bersabar, adakah mungkin usaha mencegah nuklear akan menjadi satu logik yang mampu difahami semua? Itu bergantung kepada hasil konflik yang sedang berlaku.
Sekiranya objektif Israel digagalkan, besar kemungkinan Iran akan kekal dengan pendiriannya sebagai negara tanpa senjata nuklear.
Jika tidak, negara-negara di seluruh dunia mungkin akan berfikir bahawa cara terbaik untuk memastikan survival mereka dalam sistem antarabangsa hari ini adalah dengan memiliki senjata paling berkuasa.
SUMBER: TRT World