Puluhan ribu penyokong Palestin berhimpun di Dataran Beyazit, Istanbul, pada Sabtu selepas solat Maghrib bagi menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan menyebabkan rakyat Palestin kebuluran.
Perhimpunan yang disertai pertubuhan bukan kerajaan serta ramai orang awam itu diteruskan dengan perarakan menuju ke lokasi bersejarah Masjid Ayasofya.
Penunjuk perasaan menyertai protes itu dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan dan menyatakan solidariti bersama rakyat Gaza di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak serta kekurangan bekalan makanan dan perubatan.
Penganjur menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan penderitaan tersebut.
Israel berdepan kecaman hebat atas pembunuhan beramai-ramainya di Gaza, yang telah meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023.
Perang kejam itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan kematian akibat kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang ke atas wilayah itu.