ASIA
2 min membaca
Pesuruhjaya Tinggi Singapura puji peranan aktif Malaysia di ASEAN
Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon, memuji peranan Malaysia dalam kemasukan Timor-Leste ke ASEAN dan konflik Thailand-Kemboja.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura puji peranan aktif Malaysia di ASEAN
ASEAN harus terus menjadi medan neutral untuk kuasa besar berunding. / AP
12 jam yang lepas

KUALA LUMPUR — Singapura mengiktiraf kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, khususnya tindakan pantas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengatur gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.  

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, menyifatkan langkah Malaysia itu sebagai contoh bagaimana ASEAN perlu bertindak pantas dalam krisis, meskipun prinsip konsensus tetap penting.  

“Malaysia membuktikan kepimpinan dengan mempertemukan kedua-dua pemimpin di Kuala Lumpur sehingga tercapai gencatan. Inilah yang diperlukan ASEAN,” katanya dalam program The Nation: Diplomatic Dispatch oleh Bernama TV bertajuk “Malaysia dan Singapura: Hubungan Merentasi Sempadan.“ 

Beliau turut memuji peranan Malaysia memudahkan kemasukan Timor-Leste ke ASEAN, menunjukkan keupayaan menyatukan pandangan berbeza.  

Menyentuh konsensus ASEAN, beliau menyatakan ia adalah satu aspek ASEAN yang memakan masa namun dalam isu-isu kritikal seperti konflik Thailand-Kemboja, Malaysia telah mengambil langkah serta-merta dengan memanggil kedua-dua pemimpin negara tersebut ke meja perundingan diplomatik di Kuala Lumpur. Tindakan ini mendapat sokongan dari kepimpinan Singapura yang menekankan peranan sebagai Pengerusi ASEAN adalah penting ketika timbulnya cabaran sebelum situasi menjadi lebih teruk.

ASEAN sebagai platform neutral kuasa besar  

Menon menekankan ASEAN terus menjadi medan neutral untuk kuasa besar berunding, merujuk mesyuarat menteri luar ASEAN baru-baru ini yang dihadiri wakil Amerika Syarikat, China dan Rusia.  

Beliau juga menyambut baik Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang akan ditandatangani Oktober ini di Kuala Lumpur, selain projek seperti ASEAN Power Grid untuk perkukuh bekalan tenaga serantau.  

Menon menggambarkan hubungan Malaysia-Singapura berada di tahap terbaik, diperkukuh kerjasama ekonomi melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sudah menarik minat pelabur.  

“Usaha seperti program sukarelawan guru Singapura mengajar Bahasa Inggeris di sekolah Malaysia, termasuk di luar bandar, membuktikan hubungan rakyat tetap kukuh,” ujarnya sempena 60 tahun hubungan diplomatik kedua negara.  

Kepimpinan aktif Malaysia dalam ASEAN dan kerjasama erat dengan Singapura mengukuhkan peranannya sebagai pemain utama kestabilan serantau. 

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us