Vietnam bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengoperasikan howitzer gerak sendiri K9 Thunder dari Korea Selatan, selepas membeli lebih 20 unit dalam perjanjian bernilai $250 juta dengan Hanwha Aerospace. Langkah ini dilihat sebagai usaha Hanoi untuk memperkukuh pertahanan di utara negara itu di tengah ketegangan serantau yang semakin memanas.
Penghantaran dijangka selesai menjelang akhir 2025. Berbeza dengan kebiasaan, perjanjian ini tidak termasuk pakej penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO), namun industri pertahanan Vietnam yang semakin maju dijangka mampu mengendalikannya. Kos setiap unit dianggarkan antara $9.7 juta hingga $14 juta, bergantung pada konfigurasi.
Dari segi strategik, howitzer ini kemungkinan besar akan ditempatkan di wilayah sempadan utara seperti Lạng Sơn, Cao Bằng, dan Quảng Ninh, berdekatan dengan China.
Mengapa K9 Thunder?
Howitzer ini telah digunakan secara meluas di peringkat global dengan lebih 1,300 unit dijual, termasuk kepada India, Poland, Australia, dan Mesir. Ia dilengkapi keupayaan tembakan 155mm piawaian NATO dengan jarak 40-50 km, serta mampu bergerak pantas (67 km/j di jalan raya, 40 km/j di luar jalan) untuk mengelak serangan balas.
Kemampuannya melancarkan tembakan berbilang peluru yang mendarat serentak (MRSI) membolehkan serangan intensif yang sukar dihalang. Kebolehan “shoot-and-scoot” K9 akan memberikan kelebihan menangkis sistem artileri China seperti howitzer PCL-181 dan pelancar roket PHL-191. K9 mampu melepaskan tiga pusingan tembakan dalam masa 15 saat, kemudian bergerak pantas dengan kelajuan sehingga 67 km/j di jalan raya dan 40 km/j di luar jalan, mengelak daripada tembakan balas bateri sebelum sensor musuh sempat menyesuaikan diri.
Peralihan daripada senjata Rusia kepada sistem serasi NATO dari Korea Selatan mencerminkan perubahan strategik Hanoi, terutamanya selepas perang Ukraine mengganggu bekalan peralatan ketenteraan Rusia.
Howitzer ini akan disepadukan dengan dron, radar pengesan serangan balas, dan sistem pemantauan medan perang bagi membentuk rantaian serangan moden.
Negara jiran seperti Filipina, Indonesia, dna Thailand mungkin akan mempertimbangkan sistem K9 selepas melihat prestasinya dalam perkhidmatan Vietnam.