Filipina menggesa Israel menerima cadangan gencatan senjata antarabangsa, dengan menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai semakin meruncing, lapor Philippine News Agency.
Dalam kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar Filipina menekankan bahawa langkah itu penting untuk melindungi orang awam serta menghidupkan semula jalan menuju perdamaian.
“Filipina amat bimbang dengan perkembangan terbaharu termasuk rancangan pengambilalihan penuh tentera Israel di Gaza, sekatan terhadap bantuan asas seperti makanan dan air, perpindahan besar-besaran serta serangan yang mengorbankan orang awam,” menurut kenyataan itu.
Filipina turut memberi amaran bahawa situasi ini hanya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia genting, sekali gus menjejaskan prospek perdamaian menyeluruh dan berkekalan di Timur Tengah.