PERANG GAZA
3 min membaca
Israel bunuh 4 wartawan Al Jazeera dalam serangan di Bandar Gaza
Serangan ke atas khemah wartawan di Bandar Gaza mengorbankan lima wartawan, menurut pengarah Hospital al-Shifa.
Israel bunuh 4 wartawan Al Jazeera dalam serangan di Bandar Gaza
Israel mengesahkan pihaknya membunuh Al-Sharif dalam serangan tersebut. / Other
11 Ogos 2025

Israel membunuh dua wartawan Al Jazeera dalam serangan yang menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan wartawan berhampiran Hospital al-Shifa di barat Bandar Gaza.

Saluran berpangkalan di Qatar itu memetik pengarah Kompleks Perubatan al-Shifa di Gaza yang berkata, “Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif dan Mohamed Qreiqeh, telah syahid dalam serangan Israel ke atas khemah mereka.”

Al Jazeera juga mengesahkan pada Ahad bahawa serangan itu turut membunuh dua jurukamera, Ibrahim Zaher dan Mohammed Noufal.

“Wartawan Al Jazeera Arabic, Anas Al-Sharif dan Mohammed Qreiqeh terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, bersama jurukamera Ibrahim Zaher dan Mohammed Noufal,” kata Al Jazeera.

Israel juga mengesahkan bahawa pihaknya membunuh wartawan tersebut, sambil membuat dakwaan tidak berasas bahawa beliau merupakan ketua unit untuk Hamas.

Beberapa saat sebelum beliau dibunuh, al-Sharif — yang sering membuat liputan tentang pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza sejak ia bermula — dilihat sedang melaporkan tentang serangan yang akhirnya meragut nyawanya sendiri.

“Pengeboman tanpa henti… Selama dua jam, pencerobohan Israel semakin memuncak di Bandar Gaza,” kata al-Sharif di akaun X miliknya.

Beberapa ketika kemudian, wartawan lain mengumumkan kematiannya sebelum Al Jazeera mengesahkannya.

Pesanan terakhir al-Sharif

Selepas kematiannya, pengurus akaun X beliau memuat naik wasiatnya, di mana beliau memohon kepada Allah agar menerimanya dalam kalangan para syuhada dan mengampunkan segala dosa silamnya.

“Harapan saya adalah agar Allah memanjangkan umur saya sehingga saya dapat kembali bersama keluarga dan orang tersayang ke kampung asal kami, Ascalon yang diduduki, ‘Majdal.’ Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya, dan takdir-Nya telah terlaksana,” kata al-Sharif dalam wasiat itu.

“Saya telah melalui kepedihan dalam segala bentuk, dan berkali-kali merasai kehilangan dan kesedihan. Namun saya tidak pernah ragu walau sehari pun untuk menyampaikan kebenaran seadanya, tanpa putar belit atau pemalsuan, dengan harapan Allah menjadi saksi terhadap mereka yang berdiam diri, mereka yang merestui pembunuhan kami, dan mereka yang mengepung nafas kami tanpa apa-apa perasan apabila melihat jasad anak-anak kami.”

Dalam wasiatnya, beliau menyerahkan amanah Palestin dan rakyatnya kepada dunia Arab dan umat Islam, sambil menggesa mereka agar tidak berdiam diri dan menjadi jambatan pembebasan rakyat Palestin.

Beliau juga menyerahkan keluarganya — termasuk ibunya, isterinya, anak lelaki dan anak perempuannya — kepada dunia.

“Jangan lupakan Gaza… Dan jangan lupakan saya dalam doa-doa kalian yang soleh agar diampuni dan diterima Allah,” kata al-Sharif.

Serangan yang membunuh al-Sharif itu turut meragut enam nyawa lain, lima daripadanya wartawan.

Pembunuhan lima wartawan tersebut menjadikan jumlah kematian wartawan dalam pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza sejak hujung 2023 meningkat kepada 237 orang.

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us