“Apa yang ada pada nama? Jika kita memanggil bunga mawar dengan nama lain, harumnya tetap sama.”
Shakespeare. Romeo dan Juliet
Petikan terkenal pujangga ini mungkin telah menjadi sebahagian daripada budaya pop, menghiasi cawan kopi, baju-T dan kad ucapan.
Namun, jika ditanya kepada mereka yang bekerja dalam bidang analisis nama secara saintifik – yang dikenali secara rasmi sebagai onomastik – jawapannya akan mengejutkan.
Menurut pakar, nama adalah permulaan kepada identiti seseorang dan kekal sebagai “simbol diri” sepanjang hidup, menandakan siapa mereka atau latar belakang etnik atau agama mereka.
Namun, nama juga boleh menjadi punca kepada prasangka perkauman, terutamanya di AS dan Eropah.
Jika nama anda berbunyi seperti nama orang Arab, anda mungkin mempunyai peluang yang lebih rendah untuk mendapat pekerjaan di AS atau Eropah berbanding dengan nama seseorang yang berbunyi lebih barat, menurut satu kajian bertajuk “Are Emily and Greg More Employable Than Lakisha and Jamal?”(Adakah Emily dan Greg Lebih Mudah Dapat Pekerjaan Berbanding Lakisha dan Jamal?).
Kajian dua ahli ekonomi – Marianne Bertrand dan Sendhil Mullainathan – menguji teori mereka bahawa nama boleh menentukan prospek pekerjaan seseorang di Chicago dan Boston disebabkan diskriminasi dalam pasaran kerja.
Ahli ekonomi tersebut menghasilkan lima ribu resume dengan nama yang berbunyi seperti nama orang kulit putih dan nama orang kulit hitam. Mereka turut memasukkan kelayakan berbeza – satu dengan lebih banyak pengalaman, kemahiran dan keupayaan, manakala satu lagi dengan kelayakan yang lebih rendah – dan menghantarnya kepada majikan.
Walaupun mempunyai lebih banyak kelayakan dan pengalaman, resume dengan nama yang berbunyi seperti nama orang kulit hitam mendapat respons lebih rendah berbanding nama yang berbunyi seperti nama orang kulit putih, dimana mereka mendapat 50 peratus lebih banyak respons.
“Berdasarkan anggaran, nama orang kulit putih menghasilkan lebih banyak respons, bersamaan dengan tambahan lapan tahun pengalaman kerja. Memandangkan nama pemohon disusun secara rawak, jurang ini hanya boleh dikaitkan dengan manipulasi nama,” tulis ahli ekonomi tersebut.
Dalam konteks politik yang lebih besar, ini memaparkan jurang ekonomi dan politik yang berterusan antara negara maju dan negara membangun dengan latar belakang kolonial dan pasca-kolonial.
Walaupun kajian ini jelas menunjukkan kesan kewangan kerana nama, pakar mengatakan nama juga mempunyai kesan yang melangkaui sempadan dunia pekerjaan.
“Memandangkan nama diguna untuk mengenal pasti seseorang dan berkomunikasi dengannya setiap hari, nama menjadi asas kepada konsep diri seseorang, terutamanya dalam hubungan dengan orang lain,” kata David Zhu, seorang profesor pengurusan dan keusahawanan di Arizona State University, dengan fokus sebab psikologi di sebalik nama.
Nama yang jarang didengar mungkin menjadi salah satu punca tidak disukai, menyebabkan perasaan terasing. Bahkan nama mungkin menjadi sebab seseorang melakukan jenayah.
Malah, menurut pelbagai kajian, nama mungkin mengurangkan peluang untuk mencari pasangan hidup.
Pelbagai teori telah dikembangkan untuk menjelaskan mengapa dan bagaimana fenomena ini berlaku.
Determinisme Nominal
Determinisme nominal, yang bermaksud hasil yang didorong oleh nama, merupakan teori yang paling menonjol.
Dalam bahasa Inggeris, terdapat kata lain seperti “euonym” dan “aptronym” untuk menggambarkan situasi di mana sesuatu nama itu “sesuai dengan orang, tempat atau benda yang dinamakan.”
Menurut determinisme nominal, pertama kali diperkenalkan oleh CR Cavonius – bukan seorang sarjana tetapi pembaca biasa jurnal New Scientist – nama mempunyai kesan jelas terhadap jenis pekerjaan dan bidang kerja yang dipilih.
Contoh umum bagi pemikiran ini ialah nama keluarga dua penulis, AJ Splatt dan D Weedon, yang menulis artikel mengenai masalah kencing tak terkawal dalam British Journal of Urology.
Jen Hunt, seorang pakar psikologi, mendapati bahawa “penulis cenderung kepada bidang kajian yang sesuai dengan nama keluarga mereka,”yang merujuk kepada Splatt dan Weedon.
Menariknya, Hunt menulis hal ini dalam artikel bertajuk The Psychology of Reference Hunting, sebagai rujukan jelas kepada determinisme nominal. “Mungkin ini menjelaskan mengapa saya menulis artikel ini. Selamat mencari!” dia mengakhiri artikelnya.
Terdapat banyak contoh determinisme nominal.
Sigmund Freud, pengasas psikoanalisis, sangat menekankan pentingnya kegembiraan dalam hidup. Namanya sesuai dengan konsep ini, kerana nama keluarganya bermaksud “seseorang yang bersifat ceria.”
Carl Gustav Jung, ahli psikologi terkemuka yang pernah berguru dengan Freud, juga seorang pendukung kuat kepada idea ini, yang kemudian dikenali sebagai determinisme nominal.
“Herr Freud (Joy) memperjuangkan prinsip nikmat, Herr (Alfred) Adler (Eagle) kehendak untuk berkuasa, Herr Jung (Young) idea kelahiran semula …” tulisnya dalam buku ‘Synchronicity: An Acausal Connecting Principle’.
Egotisme Implisit
Namun, beberapa sarjana menolak sumber determinisme nominal yang disifatkan sebagai misteri.
Mereka sebaliknya merujuk kepada hipotesis egotisme implisit, yang menyatakan manusia cenderung tidak sedar ketika membuat pilihan yang terkait personaliti mereka.
Ahli psikologi Uri Simonsohn menulis “disebabkan egotisme implisit - rasa tarikan terhadap sasaran yang terjadi tanpa disedari terkait dengan diri sendiri - manusia, secara tidak seimbang telah memilih pasangan, tempat tinggal dan pekerjaan dengan nama yang serupa dengan mereka.”
Kata Simonsohn, sarjana tidak perlu mencari bukti yang rumit untuk membuktikan determinisme nominal. Sebaliknya, mereka hanya perlu mengambil kira alasan mudah mengapa seorang lelaki mungkin berkahwin dengan seorang wanita yang mempunyai nama keluarga atau keturunan yang serupa dengannya. Atau seseorang mungkin cenderung berpindah ke tempat yang mirip dengan namanya.
“Bukti egotisme implisit dari makmal sangat banyak dan meyakinkan. Ia bermula dengan penemuan name–letter effect, yang menyatakan manusia cenderung menyukai huruf dalam nama mereka lebih daripada orang lain,” katanya, merujuk kepada penemuan bahawa manusia cenderung untuk membina hubungan dengan orang, tempat dan jenama yang mempunyai huruf serupa dengan nama mereka.
Jesse Singal, seorang penulis dan wartawan penyiasatan, turut mengulas perkara ini.
“Akhirnya, idea bahawa nama bukan sahaja meramalkan pekerjaan tetapi juga keputusan hidup lain telah menerima perhatian saintifik yang lengkap dengan carta dan graf,” tulis Singal.