Pelaburan China kini memacu projek-projek bernilai tinggi di Koridor Ekonomi Timur (EEC) Thailand, terutamanya dalam sektor teknologi maju, sekali gus mengukuhkan aspirasi negara itu untuk menjadi hab eksport global, kata Setiausaha Agung Pejabat EEC, Chula Sukmanop seperti dipetik agensi Xinhua.
Dilancarkan pada 2017, EEC merupakan projek pembangunan berasaskan wilayah utama Thailand yang bertujuan mengubah tiga wilayah di timur negara itu menjadi zon ekonomi berteknologi tinggi melalui penaiktarafan infrastruktur berskala besar serta insentif pelaburan yang menarik. Menurut Chula, pelabur China membawa teknologi baharu yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, menandakan peralihan strategik daripada pengeluaran secara tradisional.
Fenomena “teknologi canggih buatan China di Thailand” ini, jelasnya, paling ketara dalam industri automotif, di mana jenama terkemuka China seperti BYD, Changan, GAC Aion, Great Wall Motor dan MG telah menubuhkan kilang di EEC bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara. Pelaburan itu turut membangunkan keseluruhan rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV) – termasuk bateri, stesen pengecas, penyimpanan tenaga dan komponen berkaitan.
Setakat ini, Lembaga Pelaburan Thailand telah meluluskan pelaburan berjumlah 137.7 bilion baht (kira-kira AS$4.25 bilion) dalam rantaian bekalan EV, termasuk 21 projek pengeluaran bateri EV dengan kapasiti gabungan sehingga 386,000 unit setahun. Data Persekutuan Industri Thailand menunjukkan pengeluaran kereta penumpang EV bateri bagi separuh pertama 2025 melonjak 380 peratus berbanding tahun lalu, mencecah 23,798 unit atau 3.28 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran automotif negara itu.
Selain automotif, Chula berkata pelabur China turut menunjukkan minat dalam sektor teknologi digital dan ekonomi Bio-Kitaran-Hijau (BCG) yang menumpukan kepada pembuatan lestari dan kitar semula. Matlamat jangka panjang, katanya, adalah untuk menjadikan Thailand rakan strategik China dalam mempamerkan teknologi canggih, termasuk pengangkutan mesra alam seperti bas elektrik, trak, kereta api, serta pembangunan “pelabuhan hijau”.
Dengan kekuatan pelaburan China dalam penyelidikan dan pembangunan, beliau berharap Thailand dapat menjadi tapak untuk mengubah “teknologi berasaskan penyelidikan” menjadi produk komersial untuk pasaran global, selaras dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Thai-China dan hubungan erat rakyat kedua-dua negara.