DUNIA
3 min membaca
Bancian terbaharu India termasuk status kasta
New Delhi akan melaksanakan bancian rasmi mengikut kasta yang pertama sejak merdeka yang dijangka dapat menangani jurang sosial, di mana kasta atasan menikmati keistimewaan manakala kasta bawahan berdepan diskriminasi.
Bancian terbaharu India termasuk status kasta
Kasta ialah sistem hierarki sosial kuno di India, berdasarkan kelahiran yang dikaitkan dengan konsep kesucian dan status sosial. / AP
1 Mei 2025

India akan melaksanakan bancian rasmi mengikut kasta yang pertama sejak mencapai kemerdekaan, menurut kerajaan — iaitu satu langkah yang dijangka memberi kesan besar terhadap landskap politik dan dasar tindakan afirmatif yang sering mencetuskan perdebatan.

Kasta masih menjadi faktor penentu utama kedudukan seseorang dalam masyarakat India, di mana kasta atasan menikmati keistimewaan budaya yang tertanam sejak turun-temurun, manakala kasta bawahan terus terperangkap dalam diskriminasi sistemik.

Dianggarkan lebih dua pertiga daripada 1.4 bilion penduduk India berada pada tangga terbawah sistem sosial yang berusia ribuan tahun ini, yang membahagikan masyarakat mengikut fungsi dan kedudukan sosial.

Keputusan untuk memasukkan data kasta secara terperinci dalam bancian akan datang — yang sepatutnya dijalankan pada 2021 tetapi tertangguh — telah diluluskan dalam mesyuarat kerajaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Narendra Modi.

“Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Politik hari ini memutuskan bahawa pengiraan kasta akan dimasukkan dalam bancian akan datang,” kata jurucakap kerajaan Ashwini Vaishnav kepada media.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited terhadap nilai dan kepentingan masyarakat serta negara.”

Setakat ini, kerajaan India belum mengumumkan tarikh pelaksanaan banci tersebut.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, menyifatkan langkah itu sebagai “bersejarah”.

“Keputusan ini akan memperkasakan semua golongan yang mundur dari segi ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Sokongan ketua pembangkang

Kali terakhir data kasta dikumpulkan adalah semasa bancian rasmi pada tahun 1931, iaitu ketika pemerintahan penjajah British yang berakhir dengan kemerdekaan India 16 tahun kemudian.

Sejak itu, kerajaan-kerajaan yang memerintah menolak untuk mengemaskini data demografi sensitif ini, dengan alasan kesukaran pentadbiran dan kebimbangan terhadap potensi ketegangan sosial.

Satu tinjauan kasta dilakukan pada 2011, namun hasilnya tidak pernah didedahkan kerana dikatakan tidak tepat. Tinjauan itu dijalankan secara berasingan daripada banci am 2011, iaitu kali terakhir India mengumpul data demografi.

Parti nasionalis Hindu pimpinan Modi, Bharatiya Janata Party (BJP), sebelum ini menentang idea banci mengikut kasta kerana bimbang ia akan memburukkan lagi ketegangan sosial.

Namun, penyokong langkah ini berhujah bahawa maklumat demografi yang terperinci penting untuk pelaksanaan program keadilan sosial India secara menyeluruh — termasuk peruntukan hampir separuh daripada tempat di universiti dan jawatan dalam sektor kerajaan untuk komuniti yang kurang bernasib baik.

Ketua pembangkang, Rahul Gandhi — penyokong kuat idea ini — berkata beliau “menyambut baik” langkah tersebut.

“Kami melihat banci kasta sebagai paradigma baharu pembangunan,” kata Gandhi kepada media. “Kami akan terus memperjuangkannya dalam apa jua keadaan.”

Modi sendiri berasal dari kasta rendah dan pernah menyatakan hasrat untuk memperbaiki taraf hidup semua rakyat tanpa mengira status kelahiran, dengan berkata bahawa bagi beliau, empat “kasta” utama ialah golongan miskin, belia, wanita dan petani.

Budaya India yang telah berakar umbi

Sistem kasta yang wujud sejak 3,000 tahun lalu digunakan untuk menentukan pekerjaan, peluang pendidikan dan sosial, serta tabiat pemakanan seseorang.

Seseorang akan kekal dalam kasta tempat mereka dilahirkan seumur hidup, dan tidak boleh berkahwin luar dari kasta itu.

Brahmin berada di tangga teratas, diikuti oleh Kshatriya dan Vaishya. Shudra berada di bawah, manakala golongan Dalit langsung tidak berada dalam piramid kasta kerana mereka dianggap terlalu rendah sehingga digelar sebagai ‘orang yang tidak boleh disentuh’. Golongan Dalit mewakili sekitar 16 peratus populasi India.

Untuk sekian lama, golongan Dalit dipaksa melakukan kerja-kerja yang memalukan dan menjijikkan seperti buruh kasar yang tidak bebas, dihalang daripada memasuki kuil, serta terpaksa mengangkat najis dan bangkai haiwan. Amalan ini masih berterusan hingga ke hari ini.

Walaupun India telah mengambil langkah untuk menghapuskan sistem kasta selepas kemerdekaan dan menggubal Akta Kasta dan Suku Kaum Terjadual (SC/ST) bagi melindungi golongan terpinggir, sikap diskriminasi berdasarkan kasta masih mendalam di kalangan masyarakat.

Mereka yang paling terkesan — tidak lain dan tidak bukan — adalah golongan Dalit.

SUMBER: AFP

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us