Kanak-kanak di Gaza kini berdepan ancaman kebuluran. Menurut data terbaharu oleh Integrated Food Security Phase Classification (IPC), 93% penduduk kini tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan dalam kelaparan.
IPC, iaitu organisasi antarabangsa yang menilai krisis kebuluran, menyatakan dalam laporannya bahawa Gaza sedang “berdepan risiko kebuluran yang kritikal”.
Seorang ibu berumur 25 tahun dari utara Gaza yang mempunyai empat orang anak — kesemuanya sedang menerima rawatan kerana kekurangan zat makanan di klinik kesihatan Save the Children semasa gencatan senjata — berkata:
“Kami faham bagaimana rasanya lapar — kami merasai apa erti mati. Anak-anak kami kini hanya menunggu giliran mereka untuk mati.”
Save the Children berkata, tindakan Israel menyekat kemasukan bantuan telah memaksa rakyat Palestin mengambil langkah-langkah yang berisiko demi kelangsungan hidup.
Tanpa tindakan segera untuk menamatkan pengepungan itu dan membenarkan kemasukan makanan serta ubatan ke Gaza, satu juta kanak-kanak berisiko mengalami kebuluran, pelbagai penyakit dan akhirnya mati, kata agensi itu.
Sejak beberapa hari yang lalu, ramai ahli keluarga di utara Gaza mengambil langkah-langkah terdesak seperti memakan makanan haiwan, tepung yang sudah luput dan tepung yang dicampur dengan pasir demi mengalas perut.
Seorang bapa berumur 30 tahun yang tinggal di utara Gaza bersama isteri yang sedang hamil dan anak berusia dua tahun berkata:
“Saya tak tahu macam mana nak beri makan kepada keluarga saya. Tiada makanan. Saya tiada pilihan selain makan benda yang anda tak boleh bayangkan.”
“Keadaan di sini sangat terdesak — huru-hara. Kami tak tahu apa yang menanti. Tiada sesiapa pun dapat hidup dengan bermaruah. Kenapa ini berlaku kepada kami?”
Pelan Jeneral
“Ini tidak adil. Anak saya lemah, sering sakit dan tak boleh bangun. Dia cirit-birit. Dia sakit kerana kelaparan. Isteri saya mungkin akan kehilangan anak dalam kandungan.”
Human Rights Watch (HRW) memberi amaran bahawa rancangan Israel untuk merobohkan infrastruktur awam yang masih berdiri di Gaza dan mengumpul semua penduduk Palestin dalam satu kawasan kecil merupakan tindakan yang jijik.
Kumpulan itu turut menyifatkan tindakan Israel bersamaan dengan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, pembersihan etnik dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang kini sedang berlaku.
Menurut HRW, tentera Israel kini melaksanakan taktik yang memaksa rakyat Palestin berpindah dan mengenakan sekatan ketat terhadap bekalan penting seperti makanan, air dan bantuan perubatan.
Tindakan ini merupakan sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai “Pelan Jeneral”, satu strategi yang dicadangkan oleh bekas jeneral Israel, Giora Eiland.
Pelan itu menggesa pemindahan semua penduduk dari utara Gaza dan mengisytiharkan sesiapa yang masih tinggal sebagai pengganas, sekali gus menghalalkan serangan kejam mereka.
Beberapa organisasi berhujah bahawa pendekatan ini secara terangan telah menyasarkan orang awam dan mencabul prinsip-prinsip di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Organisasi hak asasi manusia termasuk HRW dan Amnesty International telah menyuarakan kebimbangan bahawa langkah-langkah ini dilihat seperti perbuatan pembunuhan beramai-ramai.
Penyusunan serangan ke atas infrastruktur awam dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ini dianggap sebagai bukti bahawa Israel berniat untuk memusnahkan kumpulan nasional, etnik, kaum atau agama, seperti yang ditakrifkan di bawah Konvensyen Genosid.