Tentera Diraja Thailand (RTA) akan mengetuai pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) ke sempadan Thai-Kemboja mulai Isnin hingga Rabu, menurut laporan The Nation Thailand.
Lawatan ini bertujuan menilai dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta syarat gencatan senjata oleh tentera Kemboja, menurut jurucakap kerajaan Jirayu Houngsub pada Ahad.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan dua lawatan terdahulu yang dianjurkan kerajaan Thailand melibatkan wakil negara asing dan pertubuhan antarabangsa.
Pada Sabtu, wakil-wakil ASEAN bersama negara-negara yang meratifikasi Konvensyen Ottawa mengunjungi wilayah Si Sa Ket. Konvensyen Ottawa, atau nama penuhnya Convention on the Prohibition of the Use, Stockpiling, Production and Transfer of Anti-Personnel Mines and on their Destruction, mengharamkan penggunaan periuk api.
Dalam lawatan tersebut, wakil-wakil yang hadir melihat bukti kewujudan periuk api anti-personel yang didakwa dipasang oleh tentera Kemboja, selain mendengar sendiri pengalaman penduduk yang terkesan.
Jirayu berkata kerajaan Thailand yakin laporan penemuan itu akan dibawa pulang untuk dibincangkan di peringkat kerajaan masing-masing dan turut diketengahkan ke pengetahuan masyarakat antarabangsa.
Selain itu, RTA dengan kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri turut memfasilitasi lawatan wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). Mereka menilai kesan kemanusiaan akibat serangan rentas sempadan terhadap orang awam di wilayah Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani. Wakil ICRC turut menemu bual penduduk di daerah Phanom Dong Rak dan Kab Choeng di Surin, Kantharalak di Si Sa Ket serta Nam Yuen di Ubon Ratchathani.
Jirayu menegaskan lawatan itu menunjukkan komitmen Thailand untuk bekerjasama rapat dengan ICRC dalam memperkukuh mekanisme perlindungan kemanusiaan.
Menurut beliau, ICRC akan mengumpul fakta, menilai kesan kepada penduduk dan menyediakan laporan sulit berhubung impak kemanusiaan konflik tersebut. Laporan itu tidak akan didedahkan kepada umum, sebaliknya diserahkan terus kepada kerajaan Thailand dan Kemboja.