Pagi ini, dari pangsapuri saya di London, saya membuka telefon dan membaca tajuk berita yang sudah saya jangka: ‘Rundingan gencatan senjata gala, atau paling tidak, tertangguh.’ Rasa seram sejuk seperti biasa. Perut saya mengeras, jantung saya berdegup kencang, dan kesedihan yang mendalam menyelubungi saya. Rasa seperti diri saya sudah beku.
Dalam keadaan itu, saya teringat kepada Ghassan Kanafani, penulis dan pejuang revolusi Palestin, yang pernah bertanya sama ada “perbualan mungkin berlaku antara pedang dan leher.”
Soalan itu terus bergema, seperti persoalan tentang kuasa dan penindasan.
Saya tidak tahu sama ada pembunuhan beramai-ramai pernah dihentikan melalui rundingan dengan mereka yang menyebabkan pembunuhan itu berlaku. Ia tidak pernah terjadi dalam sejarah, dan saya tidak rasa ia akan berlaku.
Biar saya jelaskan: saya mendambakan keamanan.
Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk bangun di dunia di mana anak saudara saya, Juri— si Juri yang cantik dan ceria, baru berusia empat tahun, yang bermimpi untuk melihat laut di luar pantai Gaza—tidak terbunuh dalam serangan udara Israel.
Di mana adiknya tidak perlu merangkak dalam runtuhan, menjerit memanggil namanya. Di mana ayah saya tidak perlu mengebumikan cucu-cucunya dalam cebisan kecil.
Apabila saya melihat rakyat saya di Gaza yang sedang kebuluran, dibom, dan ditanam hidup-hidup; saya melihat penjenayah berdiri di podium, tersenyum, sementara darah anak-anak kami masih membasahi tanah.
Sejak 7 Oktober sahaja, hampir 60,000 rakyat Palestin, ribuan daripadanya kanak-kanak, telah terbunuh. Gaza, wilayah yang berada di bawah pengepungan kejam sejak 2007, di mana dua juta orang bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang tidak menentu.
Sementara dunia menyeru untuk “rundingan,” ia dilakukan bersama kuasa-kuasa yang membekalkan bom.
Komuniti antarabangsa berpegang erat pada ilusi ini, didorong oleh norma diplomatik, kemudahan politik, atau mungkin juga penafian psikologi. Rundingan menawarkan mitos kemajuan yang selesa, cara untuk menangguhkan tindakan tegas tidak bermoral yang membuatkan ramai rasa tidak selesa.
Sejarah jelas dalam hal ini: genosid bukanlah salah faham yang boleh diselesaikan di meja rundingan, ia adalah projek pemusnahan secara total.
“Rundingan” dalam sejarah genosid
Di Bosnia pada 1995, bukan kejayaan diplomatik yang menghentikan genosid di Srebrenica. Lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslim Bosniak dibunuh dalam beberapa hari ketika pasukan etnik Serb mengepung “zon selamat” yang diisytiharkan oleh PBB, sementara pasukan antarabangsa hanya memerhati. Hanya tekanan ketenteraan dari luar yang berjaya menghentikan pembunuhan itu.
Baru-baru ini, identiti tujuh lagi mangsa disahkan, 30 tahun selepas nyawa mereka diragut. Hingga hari ini, mangsa yang terselamat menyimpan trauma mendalam, setiap tahun mengebumikan sisa-sisa mayat yang baru dikenal pasti.
Genosid Srebrenica, yang diiktiraf secara sah oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY), dengan jelas menunjukkan mengapa terminologi yang betul penting untuk Gaza hari ini. Gaza juga mempunyai kubur-kubur besar, dan traumanya akan meninggalkan parut terhadap generasi-generasi selepas ini.
Genosid Tutsi di Rwanda menawarkan pengajaran yang sama.
Perjanjian Arusha 1993 dipuji sebagai satu kejayaan. Namun di sebalik majlis diplomatik, apabila rundingan dalam perjanjian itu gagal, rancangan genosid semakin meningkat. Pada 1994, ketika kuasa antarabangsa menarik balik pasukan pengaman dan menoleh, pembunuhan beramai-ramai tercetus.
Sekitar 800,000 orang Tutsi dan Hutu berhaluan tengah dibunuh hanya dalam 100 hari. Tiada rundingan. Hanya parang, radio yang membawa mesej kebencian yang melabelkan mangsa sebagai “lipas,” dan kubur-kubur besar. Pembunuhan itu hanya berakhir selepas pihak tentera digulingkan.
Holocaust tidak diselesaikan melalui diplomasi. Tiada rundingan dengan Hitler. Tiada gencatan senjata dengan Himmler. Genosid itu hanya berakhir apabila Nazi Jerman dimusnahkan. Birokrasi sistematiknya, seperti yang disifatkan dalam Persidangan Wannsee, menekankan bahawa penjenayah tidak mahu keamanan, hanya pembunuhan yang lebih efektif.
Begitu juga di Kemboja, campur tangan Vietnam yang berjaya menghentikan medan pembunuhan Khmer Rouge, bukan rundingan, bukan kompromi.
Hal yang sama berlaku di Herero dan Nama yang kini dikenali sebagai Namibia.
Dalam semua kes-kes ini, tiada satu pun senario berlaku di mana penjenayah perang tiba-tiba berubah fikiran. Genosid tidak pernah ditamatkan kerana mangsa berjaya meyakinkan pembunuh untuk berhenti membunuh.
Adakah orang yang tidak seperti manusia berunding?
Ini adalah masalah utama. Genosid bukan sekadar pembunuhan secara besar-besaran; ia adalah ideologi. Ia menuntut bukan setakat kematian anda, tetapi memusnahkan memori tentang anda, bahasa anda, anak-anak anda, tempat anda di dunia ini. Menjalankan rundingan bermaksud nilai kemanusiaan itu masih ada. Tetapi dengan genosid, itu tidak wujud.
Itulah genosid: bukan sekadar pembunuhan beramai-ramai, tetapi satu sistem kepercayaan. Satu pandangan dunia bahawa anda, anak-anak anda, memori anda, tanah air anda, sejarah anda mesti dihapuskan.
Nazi menyebut orang Yahudi sebagai perosak. Di Rwanda, Tutsi adalah lipas. Hari ini, pegawai Israel bercakap tentang rakyat Palestin sebagai “haiwan manusia” dan merujuk kepada Amalek, musuh tradisi orang Yahudi yang harus dihapuskan.
Namun kuasa antarabangsa memberi ceramah kepada rakyat Palestin tentang “keseimbangan” sementara bom memusnahkan rumah kami. Tetapi keamanan tanpa keadilan adalah seperti mulut yang dikunci. Genosid tidak boleh dihentikan untuk sementara waktu—ia mesti dihentikan sepenuhnya.
“Gencatan senjata” menjadi eufemisme, bukan untuk menghentikan keganasan, tetapi untuk menguruskannya. Setiap detik yang dihentikan untuk sementara waktu hanya menetapkan semula jam. Kami telah melihat perkara ini sebelum ini: pada 2009, 2014, 2021.
Gaza tetap dikepung. Rakyatnya masih mati. Rundingan tidak boleh memadam kubur-kubur besar ini.
Kepada mereka yang mendesak kami untuk berunding dengan Israel mengenai Gaza: atas dasar apa? Menteri-menteri Israel secara terbuka bercakap tentang pembersihan etnik, dengan bangga menyebut Gaza sebagai “sebuah kota yang dipenuhi khemah pelarian.” Tentera mereka sengaja mengebom hospital, kedai roti, sekolah, gereja, dan masjid. Adakah kita benar-benar percaya mereka akan bangun pada suatu hari dan berkata, “Kami telah membunuh cukup banyak orang”?
Tidak. Mereka hanya akan berhenti apabila dipaksa.
Bukan melalui dialog, tetapi tekanan. Sekatan. Embargo. Waran tangkap. Penarikan perlindungan diplomatik. Akibat sebenar, bukan berjabat tangan di hotel mewah sementara Gaza terus kebuluran.
Kita mesti berhenti berpura-pura.
Konvensyen Genosid PBB 1948 menawarkan kriteria yang jelas: membunuh anggota sekumpulan manusia, menyebabkan mereka mengalami bahaya fizikal atau mental yang serius, mengenakan keadaan hidup yang direka untuk membawa kepada pemusnahan fizikal.
Dalam semua aspek, Gaza memenuhi syarat. ICJ telah menyatakannya secara terang. Namun pembunuhan tetap berterusan. Ini bukan perang ke atas sebuah wilayah. Ini adalah perang ke atas kewujudan satu golongan manusia.
Jumaat lalu menandakan genap 30 tahun sejak genosid di Srebrenica berlaku. Nampaknya tiada siapa yang belajar daripadanya. Pembunuhan beramai-ramai terus berlaku tanpa kawalan di Gaza.
Sejarah sedang menjerit kepada kita. Bahkan meraung.
Anda tidak boleh hentikan genosid melalui rundingan dengan mereka yang melakukan pembunuhan itu sendiri. Anda perlu menghentikan mereka. Kemudian anda membina dunia di mana jenayah seperti itu tidak lagi wujud.
Sehingga itu berlaku, sehingga senjata ditarik balik, sekatan diangkat, ideologi dimusnahkan, tiada perjanjian gencatan senjata, tiada jabat tangan politik, tiada kenyataan akhbar PBB yang akan membawa keadilan.
Hanya kebenaran yang akan melakukannya.
Dan kebenarannya adalah ini: Gaza sedang dihapuskan. Dan ia tidak akan diselamatkan melalui perjanjian dengan mereka yang melakukan jenayah ini. Adakah perbualan antara pedang dan leher benar-benar masuk akal?