Global Sumud Flotilla kecam ancaman Israel
Global Sumud Flotilla menyelar ancaman yang dibuat oleh menteri keselamatan negara Israel Itamar Ben-Gvir, yang mengugut untuk merampas kapal mereka dan melabelkan aktivis sebagai pengganas.
Kumpulan itu menegaskan misinya adalah untuk membawa makanan, air, dan bekalan perubatan ke Gaza atas nama kemanusiaan, dan sah di sisi undang-undang.
Ia turut mengecam tindakan Israel, yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa, dan satu usaha untuk menakutkan dan menyalahkan rakyat Palestin serta penyokong mereka.
Konvoi itu, yang berlayar dari Barcelona awal minggu ini dengan membawa hampir 200 peserta dari 44 negara, merancang untuk singgah di Tunisia sebelum menuju ke Gaza
Genosid Gaza simbol kegagalan Eropah: Pegawai Tinggi EU
Pegawai Tinggi Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan perang Israel di Gaza sebagai "pembunuhan beramai-ramai" dan mengkritik kegagalan Eropah untuk bertindak bersama.
Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Teresa Ribera berkata krisis itu adalah ujian untuk Eropah dan dunia, dan menyuarakan kekecewaan atas kegagalan EU untuk bertindak tegas.
Beliau menggesa usaha mencapai gencatan senjata diteruskan, tebusan dibebaskan, serta memastikan keselamatan orang awam dan wartawan.
Kenyataannya dilihat sebagai kritikan tajam daripada seorang pemimpin Kesatuan Eropah, walaupun Suruhanjaya Eropah tidak secara rasmi mentakrifkan perang Gaza sebagai genosid.
Tribunal Gaza di London kaji peranan UK dalam genosid
Tribunal Gaza, yang berlangsung selama dua hari di London, mendengar kenyataan saksi dan pakar mengenai jenayah perang Israel, serta peranan Britain dalam pembunuhan beramai-ramai itu.
Kenyataan pakar bedah, wartawan dan lain-lain yang menyaksikan sendiri tindakan Israel di Gaza menuduh Israel sengaja menyasarkan hospital, pekerja bantuan dan wartawan.
Pensyarah undang-undang antarabangsa Shahd Hammouri berkata, menjaga kebajikan saksi adalah satu kewajipan moral, sambil menyifatkan kemusnahan di Gaza sebagai projek penjajah yang telah lama berlaku.
Tribunal itu ditubuhkan apabila Gaza mula menghadapi kebuluran. Setakat ini, lebih 64,000 rakyat Palestin telah terbunuh susulan serangan Israel.
Kerajaan Perancis disaman kerana gagal halang genosid di Gaza
Satu kumpulan peguam Perancis memfailkan tuntutan mahkamah yang menuduh kerajaannya gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza
Persatuan Peguam Menghormati Undang-undang Antarabangsa berkata, Perancis sedar tentang risiko pembunuhan beramai-ramai itu tetapi meneruskan hubungan dengan Israel.
Persatuan itu menggesa mahkamah memerintahkan Perancis mengambil langkah konkrit, dan meminta Perancis didenda kira-kira $11,600 bagi setiap hari ia gagal memenuhi kewajipan ini.
Mikrofon tangkap suara Xi dan Putin bincang kaedah lanjut usia
Perbualan yang dirakam oleh mikrofon media negara China mendedahkan perbincangan mengenai bioteknologi dan kaedah memanjangkan usia manusia antara Xi Jinping dan Vladimir Putin, sebelum mereka menyertai acara perarakan tentera di Beijing.
Putin didengar menyebut bahawa bioteknologi boleh menjadikan manusia hidup lama, manakala Xi meramalkan jangka hayat manusia boleh mencapai 150 tahun pada abad ini.
Perbincangan itu kemudiannya disahkan oleh Putin semasa sidang akhbar, di mana beliau berkata kaedah moden memberi manusia harapan bahawa kehidupan aktif yang berterusan tidak mustahil pada masa depan.