Dalam ucapannya yang penuh bersemangat, Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia akan terus menyuarakan penderitaan rakyat Palestin di setiap pentas antarabangsa, dari Tokyo dan Beijing sehingga New Delhi dan seluruh Eropah. Beliau berucap sewaktu acara Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
“Mengapa dalam soal Gaza penjajahan diizinkan? Apa kita terima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita?” Beliau turut menekankan persoalan tentang keizinan yang diberikan untuk menyerang Gaza, dimana jawapan yang diberikan oleh pihak yang menyokong rejim Zionis Israel secara purata berpusing dalam kitaran jawapan mengenai Hamas dan 7 Oktober.
Tambah Anwar, kejadian 7 Oktober berlaku disebabkan oleh kezaliman yang berlaku sejak puluhan tahun yang merangkumi perampasan tanah, pemusnahan rumah, sekolah, masjid, dan juga gereja.
“Ini bukan manusia; ini haiwan! Itu jawapan kita kepada mereka,” kata Anwar yang diikuti dengan sorokan gemuruh dari para hadirin. Berkenaan dengan perjuangan Palestin, beliau membangkitkan kemerdekaan Malaysia pada 1957 yang menyaksikan keluarnya Inggeris dari Malaya. “Kita yang menentukan masa depan kita. Apa yang berlaku di Gaza itu penjajahan.”
Anwar juga menambah bahawa untuk memahami keadaan politik di Palestin adalah untuk memahami politik perampasan dimana tanah, air, rumah, keluarga, anak-anak, semuanya diambil oleh pihak perampas. Beliau mengkritik isu hipokrasi hak asasi manusia dan demokrasi ketika kemusnahan dan pembunuhan berlaku di Gaza, Palestin.
Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk meningkatkan sokongan terhadap Gaza dan perjuangan pembebasan rakyat Palestin. Dalam ucapan beliau pada kemuncak acara tersebut, kerajaan Malaysia akan memperuntukan tambahan RM100 juta sebagai bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai penyokong teguh keadilan.
“Kami memahami perjuangan ini kadangkala terasa meletihkan, malah boleh menyebabkan putus asa. Namun kita mesti ingat janji Allah—pertolongan-Nya itu dekat. Kita harus terus mara dengan keberanian dan keyakinan, kerana kebenaran dan keadilan pasti akan tegak,” ujar Anwar.
Beliau turut merujuk pada kehadiran ribuan rakyat Malaysia di program “Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” sebagai bukti perpaduan nasional yang kukuh dalam mengecam kekejaman terhadap rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyampaikan mesej terus kepada rakyat Palestin: “Kepada saudara-saudari kami di Gaza dan Palestin, kami tidak akan meninggalkan kalian, kami tidak akan menyerah kalah, malah kami mengambil kekuatan dari semangat dan perjuangan anda semua. Kami tidak akan biarkan kamu berseorangan. Rakyat Malaysia dan sahabat anda yang lain berdiri bersama anda. Kami mendoakan kepada Allah agar meringankan beban-beban mereka dan mencapai kejayaan dalam masa secepat mungkin.”