Belgium iktiraf negara Palestin di PBB September ini
Belgium akan mengiktiraf sebuah Negara Palestin secara rasmi semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September, menurut menteri luar Belgium.
"Palestin akan diiktiraf oleh Belgium pada sesi PBB! Dan sekatan tegas sedang dikenakan terhadap kerajaan Israel," kata Menteri Luar Maxime Prevot di platform X pada Isnin.
Trump akui lobi pro-Israel mula hilang pengaruh Kongres
Presiden AS Donald Trump berkata beliau terkejut apabila melihat lobi pro-Israel yang pernah berkuasa di Washington kini kehilangan pengaruh dalam Kongres.
Trump turut mengakui terdapat perubahan pendapat dalam Parti Republikannya sendiri.
Bercakap dalam temu bual dengan Daily Caller pada Jumaat, yang diterbitkan pada Isnin, Trump berkata sokongan Kongres untuk Israel mula pudar berbanding dengan dominasinya dua dekad yang lalu.
SCO 'mengutuk sekeras-kerasnya' jumlah korban orang awam di Gaza
Pertubuhan Kerjasama Shanghai berkata anggotanya, termasuk China, India, Rusia dan Iran, "mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang menyebabkan kematian orang awam dan bencana kemanusiaan di Gaza", menurut satu kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita Xinhua.
Pada Isnin, 10 negara anggota SCO berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya serangan AS dan Israel ke atas Iran pada Jun, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak yang diadakan di bandar Tianjin di utara China.
Israel bunuh 51 rakyat Palestin dalam serangan di Gaza
Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 51 lagi rakyat Palestin, termasuk seorang wanita hamil dan dua kanak-kanak, dalam serangannya di Gaza, menurut sumber perubatan.
Pembunuhan itu berlaku di kem pelarian Shati, kejiranan Sheikh Radwan, Kompleks Perubatan Al-Sahaba di Bandar Gaza, Kem pelarian Bureij, Deir al Balah di tengah Gaza, dan Khan Younis di selatan Gaza.
TCG Icel: Turkiye lancar kapal tentera laut buatan sendiri kelapan
Turkiye melancarkan kapal buatan sendiri yang kelapan, iaitu multirole frigate TCG Icel (F-518), dalam majlis di Sefine Shipyard di wilayah barat laut Yalova pada Isnin.
Projek TCG Icel ditandatangani pada 6 April 2023, antara Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye, usaha sama limbungan kapal TAIS, dan firma pertahanan STM untuk menghasilkan tujuh unit frigate "kelas Istif". Dua daripada tujuh unit itu kini sedang dibina di Limbungan Sefine.